Tragedi kepala air sukar dilupa, Titi Hayun kini hanya tinggal nama

Hilmi Malik
Ogos 11, 2023 16:44 MYT
Dalam kejadian pada 18 Ogos 2021, Titi Hayun dan beberapa lokasi lain termasuk Seri Perigi dan laluan ke Gunung Jerai di Yan, dilanda kepala air dan banjir lumpur yang teruk. - Gambar/ Astro AWANI
TRAGEDI kepala air dahsyat yang melanda Taman Eko Pelancongan Titi Hayun, Yan, Kedah, pada Ogos 2021 akan terus kekal terpahat di dalam ingatan penduduk setempat.
Ibarat mimpi ngeri yang sukar dipadam daripada memori, selain mengenangkan banyak nyawa terkorban, menjadi antara punca ramai sangsi untuk berkunjung ke destinasi pelancongan terkenal itu.
Turut mengurangkan tarikan adalah kesan perubahan bentuk muka bumi terutama aliran sungai, disebabkan tragedi berkenaan.
Bunyi deruan air yang turun dari Gunung Jerai kini menjadi pengganti suara keriangan pengunjung ke kawasan peranginan tersebut.
Populariti Titi Hayun yang mempunyai identiti tersendiri kini hanya tinggal nama dek kerana suasananya yang tidak lagi meriah seperti dulu.
Menurut salah seorang penduduk, Ashri Abu Hassan, jenama Titi Hayun yang menjadi kebanggaan penduduk setempat menyambut ketibaan ribuan pengunjung setiap minggu dahulu, kini semakin terhakis.
“Keadaan air sungai pun dah tak macam dulu, sebelum ini ada lubuk untuk orang mandi tetapi sekarang ini cuma ada batu-batu yang banyak, air sungai pun dah jadi cetek.
“Selain itu, Titi Hayun dia ada ‘trademark’ sendiri iaitu titi (jambatan)... jadi mesti kena ada titi... tetapi sekarang kalau orang datang titi itu sudah tiada (musnah akibat kepala air)... yang tinggal cuma tiang… nama Titi Hayun hanya tinggal nama,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam kejadian pada 18 Ogos 2021, selain Titi Hayun, beberapa lokasi lain termasuk Seri Perigi dan laluan ke Gunung Jerai di Yan, dilanda kepala air dan banjir lumpur yang teruk.
Kejadian itu mengorbankan tujuh nyawa selain mengakibatkan lebih 2,000 kediaman penduduk terjejas.
Sementara itu, menyelami lagi perasaan penduduk, Astro AWANI bertemu pula Abu Bakar Abd Malik, yang memberitahu sejarah hitam yang terlakar di Titi Hayun itu meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepadanya.
“Kalau hujan saya dan anak-anak akan trauma bila dengar air kuat turun dari bukit kerana benda ni (kepala air) kita tak boleh jangka.
“Selain itu, orang yang datang dah semakin berkurangan... yang mengusahakan dusun pun susah sebab dah tiada akses (laluan)... jadi banyaklah peluang-peluang pekerjaan semua hilang sebab dah tiada tarikan,” katanya.
Tidak sesekali menyalahkan takdir, namun mereka yang sememangnya bergantung rezeki kepada kawasan peranginan ini mengakui pendapatan semakin berkurangan.
Tidak meletakkan harapan yang begitu tinggi, salah seorang pengusaha pelancongan, Jazni Ghani berharap agar adanya kebangkitan semula di Titi Hayun bagi memujuk semula hati pengunjung untuk kembali bertandang.
“Ada yang masih simpan perasaan ragu-ragu untuk datang, jadi kalau anak-anak mereka datang pun keyakinan itu mungkin tiada.
“Dari segi pendapatan memang banyak terjejas kerana banyak juga kem-kem, chalet, dan rumah inap terpaksa ditutup.
“Untuk nak bangkit semula memang makan masa kerana nak pulihkan semula kesan-kesan kerosakan,” luahnya.
Jauh di sudut hati kecil mereka terselit satu harapan yang tinggi agar sinar di Titi Hayun ini dapat dikembalikan semula.
Jika dibiarkan, maka satu lagi tarikan dalam kawasan Geopark Jerai di Kedah ini mungkin hanya tinggal kenangan.
Titi Hayun bangkit semula agar destinasi pelancongan itu tidak terkubur dan mampu kekal dengan jenamanya bagi menarik minat orang ramai kembali memeriahkan kawasan itu.
#PRN #Titi Hayun #kepala air #kawasan peranginan
;