Tragedi kepala air: Pusat kawalan operasi SAR dipindahkan ke BBP Cheneh

Bernama
Julai 8, 2023 20:10 MYT
Operasi pusat kawalan SAR di BBP Cheneh juga akan dibantu BBP Chukai dengan pengecilan skala pencarian mulai esok. - Twitter/@bernamadotcom
CHUKAI: Pusat kawalan operasi di Balai Polis Air Putih bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini dipindahkan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, hari ini.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II, Azman Alias, berkata operasi pusat kawalan SAR di BBP Cheneh juga akan dibantu BBP Chukai dengan pengecilan skala pencarian mulai esok.
"Kita dah masuk hari ketujuh SAR tetapi belum menemui apa-apa petunjuk keberadaan mangsa ke-10 iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.
"Kita merancang untuk tindakan selanjutnya dengan skala pencarian diperkecilkan di peringkat BBP Cheneh dan BBP Chukai. Penglibatan agensi penyelamat yang lain untuk operasi SAR seterusnya bergantung kepada pentadbiran agensi masing-masing," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Beliau berkata skop pencarian seterusnya akan dibuat secara pemantauan dan pencarian harian dari semasa ke semasa oleh kedua-dua BBP terlibat di bawah seliaan Balai Polis Air Putih.
Azman berkata usaha pencarian seterusnya masih kekal di sektor sedia ada dan perancangan serta kaedah pencarian diserahkan sepenuhnya atas penilaian BBP masing-masing.
"Pasukan penyelamat akan bertindak berdasarkan petunjuk baharu kedudukan mangsa termasuk kaedah selaman dari semasa ke semasa," katanya sambil memaklumkan operasi hari ini ditangguhkan pada jam 6 petang.
Pada masa sama, Azman memaklumkan Pusat Kawalan Hadapan JBPM di Kampung Seberang Tayor di sektor B dan Jeti Awam Kampung Pasir Minal di sektor C pula ditutup sepenuhnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan mengumumkan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Kawalan Operasi berkenaan telah ditutup pada Rabu lalu.
Memasuki hari ketujuh operasi SAR, Putri Nor Fatin adalah satu-satunya daripada 10 mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di sini yang belum dijumpai.
-- BERNAMA
#tragedi kepala air #Pusat Kawalan Operasi #Balai Polis Air Putih #BBP Cheneh
;