Tragedi kepala air: Pencarian mangsa terakhir fokus di sektor A

Bernama
Julai 8, 2023 10:30 MYT
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Putri Nor Fatin Karim, 14, diteruskan hari ini dengan penumpuan di sektor A kawasan pencarian. - Gambar BERNAMA
CHUKAI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Putri Nor Fatin Karim, 14, diteruskan hari ini dengan penumpuan di sektor A kawasan pencarian.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan II Azman Alias berkata, pencarian di sektor B dan C turut akan dilakukan, namun dengan skala yang lebih kecil.
"Kaedah pencarian tertumpu di lokasi-lokasi yang kita sudah kenal pasti semalam, di tempat mangsa-mangsa sebelum ini dijumpai dan kita akan lebihkan pencarian di kawasan berhampiran.
"Susulan pemantauan semalam, kami dapati banyak beting baru yang wujud di jeram dan kawasan tersebut akan digali serta pencarian dibantu empat anjing pengesan K9," katanya yang ditemui di sini hari ini.
Azman berkata, operasi melibatkan 250 anggota pada hari ini juga akan melakukan pencarian semula secara terperinci di kawasan yang dicakupi sebelum ini.
"Pencarian termasuk di kawasan timbunan kayu yang baru wujud ekoran perubahan cuaca dan hujan dari semasa ke semasa," katanya.
Jenazah sembilan mangsa yang ditemukan susulan tragedi kepala air di jeram berkenaan pada Sabtu lepas telah selamat dikebumikan iaitu lapan di Felda Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu, manakala seorang lagi dikebumikan pada 7 pagi tadi di Batu Pahat, Johor. - BERNAMA
#tragedi kepala air #pencarian mangsa terakhir #jeram air putih #lapan ahli keluarga dihanyutkan air
;