Tragedi kepala air: Pasukan SAR buat usungan dengan batang kayu

Bernama
Julai 7, 2023 18:16 MYT
Pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih Kemaman yang masuk hari kelima semasa tinjauan di Kampung Teladas hari ini. - Foto BERNAMA
CHUKAI: Anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi kepala air Jeram Air Putih di sini bukan sekadar mengerah keringat malah menunjukkan kesungguhan mereka dalam memastikan semua mangsa segera dibawa 'pulang'.
Ini termasuk membina sendiri usungan bagi mempercepatkan usaha mengeluarkan salah seorang mangsa Putri Alleya Maisarah Karim, 16, daripada lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Pegawai Kanan Penguasa Bomba Zailani Abdullah berkata mayat remaja itu ditemukan pada hari ketiga SAR di sektor A, di atas beting pasir pada ketinggian lima meter (m).
Zailani berkata pada awalnya dia dan empat lagi anggota dalam kumpulannya yang ketika itu membuat pencarian di air, mahu membawa mayat tersebut meredah kawasan bukit kerana tidak membawa usungan bersama.
Bagaimanapun, disebabkan geografi kawasan di sektor itu agak mencabar, mereka membuat keputusan untuk membina sendiri usungan menggunakan sumber yang ada di sekeliling lokasi berkenaan.
"Kami potong beberapa batang kayu dalam panjang dua hingga tiga meter lalu mengikatnya untuk meletakkan mayat tersebut di atas bot. Itu semua perlu dilakukan sebab kami mahu bawa jenazah turun ke tempat yang ada akses Hilux polis untuk dibawa ke Pusat Kawalan Operasi.
"Sebab kalau nak tunggu pasukan lain untuk hantar usungan sudah tentu akan mengambil masa yang lama," katanya ketika ditemui di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, di sini.
Menyifatkan tragedi itu sebagai yang terburuk sepanjang 12 tahun perkhidmatannya kerana jumlah mangsa lemas yang ramai, Zailani berkata penemuan mayat Putri Alleya Maisarah adalah pada saat-saat akhir sebelum operasi hari itu ditamatkan.
"Mangsa dijumpai pun masa saya selusur sungai untuk balik ke Pusat Kawalan Operasi... kira memang (operasi) nak berhenti dah. Syukur dalam keadaan begitu sekalipun, rezeki kami untuk jumpa juga mayat tersebut," katanya.
Selain Putri Alleya Maisarah, pasukan Zailani turut menemukan dan menguruskan proses membawa keluar mayat Karim Abdullah, 39, Isnin lepas.
Sementara itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Staff Kanan (PA), Nik Mohd Firdaus Nik Mohd Redzuan berkata apabila dimaklumkan pejabat APM Kemaman memerlukan bantuan, beliau yang bertugas di pejabat APM Marang berharap agar terpilih untuk turut serta.
"Selain APM Marang, turut hadir membantu ialah dari pejabat APM Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun. Memang hadapi kesukaran terutamanya dari bentuk muka bumi di lokasi SAR yang curam, berbukit-bukau serta arus air sungai yang deras.
"Bagaimanapun, tetap menjadi sasaran kami semua yang terlibat dalam SAR ini untuk berusaha sehabis baik sehingga kesemua mangsa ditemui. Itu kepuasan buat kami semua dan untuk keluarga mangsa... Insya-Allah akan ada senyuman walaupun dalam tangisan," katanya.
Memasuki hari keenam SAR, sembilan mayat daripada keseluruhan 10 mangsa telah ditemukan dengan lapan daripadanya telah disahkan identiti dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu.
Mayat kesembilan yang ditemui hari ini, setakat berita ini disunting, belum disahkan identitinya secara rasmi, namun polis tidak menolak kemungkinan ia adalah Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor.
Mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk pengecaman oleh waris dan bedah siasat.
Operasi SAR melibatkan 242 anggota dan lapan ekor anjing pengesan dari Unit K9 JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini dihentikan sementara pada 12 tengah hari tadi dan disambung semula 3 petang ini bagi mengesan satu lagi mangsa yang masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14.
-- BERNAMA
#tragedi kepala air #operasi sar #jeram air putih #Mangsa terakhir
;