Tragedi kepala air: Operasi SAR tinggal kesan mendalam pada pasukan pencarian
Nur Fazlizai Ali
Julai 5, 2023 09:30 MYT
Julai 5, 2023 09:30 MYT
KEMAMAN: Tragedi kepala air yang meragut 10 nyawa di Jeram Air Putih, Kemaman meninggalkan kesan kepada pasukan pencarian.
Bukan hanya kudrat malahan emosi dan fizikal mereka turut diuji apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang menyertai operasi tersebut.
Beberapa anggota keselamatan yang ditemui berkata keadaan geografi muka bumi di kawasan jeram itu dan keadaan cuaca juga membataskan pergerakan mereka.
Selain itu mereka turut menghadapi masalah komunikasi yang terhad.
"Yang paling sukar sebenarnya adalah komunikasi, di dalam kawasan sana, 12 kilometer dari tapak kawasan perumahan sehingga kepada tempat kejadian, atau tempat kita jumpa kenderaan mangsa, komunikasi memang tiada langsung.
"Keduanya adalah faktor cuaca menyebabkan kita rasa agak sukar untuk menentukan bagaimana pencarian operasi kita sama ada kita boleh teruskan ataupun tidak," kata anggota bomba, Sharifuddin Ali.
Bagi Nik Mohd Firdaus Nik Mohd Rizuan pula, kekuatan mental sangat diperlukan jika ingin menjalankan tugas yang baik.
"Mental itu kita kena siap lah, walaupun kita penat sekali pun kita kena usaha juga, demi orang kata, demi kesenangan waris, dan juga orang kata, untuk kebajikan dia.
"Kita kena buat sehabis baik, walaupun orang kata kita penat tapi pihak waris puas hati," katanya.
Mohd Syafiq Anas Mohd Salleh pula menjelaskan, operasi SAR ini antara pengalaman yang dia tidak akan lupakan.
"Ini antara pengalaman yang saya rasa, menjadi, satu kenangan yang saya tak akan lupa.
"Kita tak nafikanlah benda itu, memang sangat menyentuh perasaan kita apabila satu keluarga itu hilang dalam masa yang serentak," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa kepala air melibat pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta dibantu penduduk kampung.
Sebanyak 13 aset di air, 6 ekor anjing daripada Unit Pengesan Bomba dan polis digerakkan bagi membantu memudahkan operasi pencarian.
Ahad lepas, media melaporkan 10 individu termasuk sembilan sekeluarga hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di jeram itu pada petang Sabtu.
Mayat tujuh daripada sembilan sekeluarga telah ditemui dan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3 lewat Selasa.
Mangsa yang masih hilang ialah Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor iaitu tunang kepada salah seorang mangsa.