Tragedi kepala air: Mayat ketujuh dipercayai remaja perempuan ditemui

Nur Fazlizai Ali
Julai 4, 2023 09:25 MYT
Mayat seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman ditemui kira-kira jam 7.45 pagi tadi, menjadikan kesemuanya tujuh mayat ditemui setakat ini. - Foto Astro AWANI
KEMAMAN: [KEMAS KINI] Mayat seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di sini, ditemui kira-kira jam 7.45 pagi tadi, menjadikan kesemuanya tujuh mayat ditemui setakat ini dan tiga masih hilang.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan, mayat Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun, dijumpai di belakang Masjid Dadong.
"Mayat mangsa ketujuh ini dijumpai penduduk kampung kira-kira 24 kilometer dari lokasi kejadian dan ia telah disahkan oleh ahli keluarga.
"Mayat kemudiannnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Sementara itu, Hanyan berkata, enam mayat mangsa termasuk empat yang ditemui semalam akan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Setakat ini, tiga lagi mangsa yang masih belum ditemui adalah Putri Alleya Maisarah, 16 tahun, Putri Nor Fatin, 14 tahun, dan Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun, iaitu tunang Putri Balqis Izzati.
Setakat petang semalam, enam mayat telah ditemui dan disahkan waris serta keluarga mangsa.
Empat mayat ditemukan semalam ialah Karim Abdullah, 39 tahun, Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun.
Pada Ahad, media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu.
Dua mayat pertama ditemukan pada Ahad iaitu, Azizah Eiyi, 40 tahun, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun.
Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5 petang atas faktor cuaca berikutan kelihatan tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat.
Memasuki hari ketiga, operasi diteruskan jam 9 pagi ini dengan pencarian masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C, dengan kekuatan 170 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.
Pasukan SAR juga turut menerima penambahan dua ekor lagi anjing pengesan K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
#kepala air #lemas #jeram air putih #SAR
;