Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

Sinar Harian
Julai 7, 2023 12:43 MYT
Kakitangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) membawa mayat kesembilan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman untuk bedah siasat sebaik tiba di HSNZ, hari ini. - Foto BERNAMA
KEMAMAN: Satu lagi mayat ditemukan dipercayai mangsa lemas yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, dekat sini pada Sabtu lalu.
Mayat dikenal pasti sebagai Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias berkata, penemuan mayat itu menjadikan seorang lagi baki mangsa yang masih hilang.
"Mayat dipercayai lelaki tersebut dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sekitar jam 9.20 pagi.
"Mayat tersebut dijumpai dengan cukup sifat terdampar di atas beting pasir di sektor A.
"Mayat dibawa naik dari sungai itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanya Ramlan mengesahkan mayat yang ditemui terdampar pagi tadi ialah Muhammad Fikri Saliman, 24 tahun.
Dalam satu kenyataan beliau berkata mayat mangsa disahkan selepas menerima laporan pemeriksaan cap jari, petang ini.
Selain Muhammad Fikri, lapan lagi jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.
Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4 ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa. - Sinar Harian
#jeram air putih #lemas #SAR #kepala air
;