KUANTAN: Ahli keluarga mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu bersyukur apabila tanggungjawab menyempurnakan urusan pengebumian dapat diselesaikan malam tadi.

Mohd Ismail Eiyi, 36, yang juga adik kepada seorang daripada mangsa Azizah Eiyi, 40, berkata mereka sekeluarga berasa lega kerana proses pengebumian tujuh daripada sembilan mangsa berjalan lancar.

"Alhamdulillah kerana hari ini (malam tadi) semuanya selesai... dapat bawa (pulang) tujuh dahulu pun tak apa kerana kita sudah usaha untuk selesaikan.

"Alhamdulillah dapat juga turunkan (kebumikan) tujuh (jenazah) malam ini," katanya kepada pemberita selepas urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3 selesai, malam tadi.

Jenazah Azizah dan suaminya Karim Abdullah, 39, serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada 11.52 malam.

Tragedi Kepala Air: Tujuh sekeluarga dikebumi dalam satu liang lahad

Terdahulu, tujuh kenderaan membawa jenazah diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk disembahyangkan di Masjid Ubbudiah di felda berkenaan.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Polis Pahang Datuk Yahaya Othman.

Mohd Ismail berkata mereka kini berharap urusan pencarian seorang lagi anak saudaranya yang masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan urusan pengebumian Putri Alleya Maisarah Karim, 16, yang ditemukan petang semalam dipermudahkan.

Seorang lagi masih hilang dalam tragedi itu ialah Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati.

Pada Ahad, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, sebelum hilang dihanyutkan kepala air di kawasan itu.

-- BERNAMA