Tragedi kepala air: KASA cadang bina empangan kecil di kawasan berbukit
Astro Awani
Ogos 24, 2021 12:15 MYT
Ogos 24, 2021 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang mewujudkan empangan kecil di tempat berbukit atau Empangan Sabo bagi mengelakkan insiden kepala air dari Gunung Jerai berulang pada masa depan.
Ketua Setiausahanya Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, konsep sebegitu banyak digunakan di Jepun, malah juga di beberapa negara seperti Thailand dan Indonesia.
“Kita nak buat Empangan Sabo. Ini perkara baru. Tempat yang berbukit, selepas ini, kita nak buat Empangan Sabo. Ia banyak di Jepun. Ada lebih 50,000 Empangan Sabo di Jepun.
“Banyak negara seperti Indonesia, Thailand juga sudah buat Empangan Sabo.
"Empangan Sabo ini adalah empangan kecil dalam aliran sungai itu, dan apabila berlaku insiden seperti ini (kepala air), kayu akan tersekat, tidak akan menghilir.
“Kalau kayu itu menghilir, ia akan merosakkan struktur lain seperti jambatan, telekomunikasi, paip air yang banyak melintang di sungai, semua akan habis rosak,” katanya ketika bersiaran secara langsung dalam Buletin AWANI hari ini.
Dalam pada itu, Zaini memaklumkan, pihak berkaitan akan mula melakukan kerja awalan bagi membaiki kerosakan utama akibat insiden kepala air yang mengorbankan enam nyawa tersebut.
Kerajaan negeri Kedah dan KASA pada 19 Ogos lepas meluluskan peruntukan untuk kerja-kerja tersebut dan selepas ini akan memberi tumpuan kepada membersihkan aliran air sungai itu.
“Ia sepanjang 27 kilometer (km), jadi kerjanya agak besar. Ia rumit sebab kita juga kena pastikan ke mana hendak dibuang kayu-kayu ini.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah bekerjasama dengan pelbagai pihak sekarang. Kita lihat ada kayu baik yang boleh digunakan. Ada nanti yang kita akan jadikan sebagai pelbagai guna,” ujarnya.
Bencana | Mayat keenam tragedi kepala air ditemui
Beliau juga sekali lagi menegaskan, kayu yang bertaburan di jalan akibat insiden tersebut bukan disebabkan pembalakan sebaliknya sisa-sisa kayu akibat runtuhan tanah.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM75 juta bagi membantu kerajaan negeri Kedah memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur di Yan dan Merbok yang rosak akibat tragedi kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.
Peruntukan itu termasuk RM50 juta menerusi KASA yang antara lain bertujuan menaik taraf sungai dan sistem saliran sepanjang 27km fasa satu daerah berkenaan, melibatkan kos RM5 juta.
Ia juga melibatkan peruntukan pembinaan dua jambatan baharu sebanyak RM23 juta, pembinaan intake loji rawatan air di Gurun dan Tupah (RM2 juta), pembinaan Empangan Sabo fasa satu (RM20 juta) serta kerja pembaikan kemudahan pelancongan desa dan kerja baik pulih bekalan air.