Tragedi kepala air Kampung Poh: Mayat kanak-kanak 4 tahun ditemui, dua masih hilang
Abd Razak Mohd Ali
Februari 7, 2024 04:30 MYT
Februari 7, 2024 04:30 MYT
TAPAH: Seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, petang semalam, ditemui kira-kira pukul 9.45 malam tadi.
Dengan penemuan itu bermakna dua mangsa telah ditemui manakala dua lagi kanak-kanak masih hilang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu dijumpai orang awam bersama pasukan penyelamat kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi berkata, kanak-kanak itu dipercayai anak Aszura Bani, 37 tahun, mangsa lemas pertama.
"Dengan bantuan orang kampung, kanak-kanak itu ditemukan di tepi sungai dalam keadaan tersangkut pada ranting kayu," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Menurut laporan Sinar Harian, identiti mangsa dikenal pasti sebagai Hafiy Muhayat Azam, disahkan ibu saudaranya, Aznur Radin Mustapha Amiruddin, 51 tahun, yang hadir membuat pengecaman di lokasi kejadian.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, enam sekeluarga dan seorang pembantu rumah terperangkap dalam kepala air ketika sedang berkelah di Sungai Kenjur.
Dalam kejadian itu, kakak Aszura, Aslinda Bani, 38 tahun, anak lelakinya Muhammad Adam Muhkris Rozi, 11 tahun, dan seorang pembantu rumah terselamat sementara dua anak Aszura masih belum dijumpai.
Sementara itu, Sayani berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditangguhkan sementara pada pukul 7 malam tadi.
Operasi akan sambung kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Bagaimanapun, katanya, pencarian secara berkala diteruskan secara giliran.
Dua ekor anjing pengesan dari Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga telah sampai ke lokasi untuk membantu operasi pencarian mangsa.
Pos Kawalan Bomba (PKB) serta pos kawalan agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Rela telah dibina di Sekolah Kampung Poh.