Tragedi kepala air Kampung Poh: Mayat dua beradik mangsa terakhir ditemui
Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2024 11:00 MYT
Februari 8, 2024 11:00 MYT
TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor yang diteruskan pagi ini menemui mayat dua beradik mangsa terakhir.
Mereka adalah Hanum Marissa Azam, 2 tahun, dan kakaknya, Hanna Mikayla, 7 tahun, yang dijumpai kira-kira pukul 9 dan 9.10 pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi yang disambung semula jam 8 pagi tadi dibahagikan kepada empat pasukan.
Lebih kurang jam 9 pagi, salah satu pasukan menjumpai satu mangsa kanak-kanak dan kira-kira 10 minit kemudian mangsa terakhir ditemui.
Sayani berkata, pasukan SAR pagi ini disertai 107 orang yang terdiri daripada 23 anggota bomba termasuk lima anggota Pasukan Pencarian Di Air (PPDA) dan tiga anggota Unit K9, polis (45), anggota Angkatan Pertahanan Awam (25) dan orang awam (14).
Menurutnya, dengan penemuan kesemua mangsa, operasi yang diketuai Penguasa Bomba Nur Ariff Zainudin itu ditamatkan jam 10 pagi.
Dalam kejadian itu, seorang wanita meninggal dunia manakala tiga anaknya hilang akibat dihanyutkan arus deras ketika mereka berkelah di kawasan berkenaan.
Tiga lagi yang turut serta dalam aktiviti itu, termasuk seorang pengasuh warga Indonesia, terselamat.
Mayat Aszura Bani, 37 tahun, ditemui sejurus selepas kejadian berhampiran jambatan di sungai berkenaan, manakala mayat anaknya, Hafiy Muhayat Azam, 4 tahun, ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian, kira-kira jam 9.45 malam tadi.