Tragedi kepala air: Hampir pengsan sebaik tangan menyentuh mayat

Astro Awani
Oktober 13, 2017 17:44 MYT
Mangsa terakhir Siti Aisyah Kassim, 5, ditemukan jam 4.26 petang berhampiran Surau Bukit Kemboja kira-kira 7km dari lokasi kejadian. -Gambar Astro AWANI
‘’Jantung berdegup kencang, tangan menggigil dan hampir pengsan sebaik tersentuh mayat di perdu buluh,’’ kata Arman Ismail, 40.
Arman adalah penduduk yang menemukan mayat ketiga mangsa kepala air di Air Terjun Kampung Buku Lubuk, Semilang di sini.
Mayat Anis Shahtirah Saad, 12, dijumpai di perdu serumpun buluh berhampiran sebuah restoran di Kampung Ulu Melaka jam 11.45 pagi Jumaat.
‘’Dari semalam lagi saya tak puas hati sebab tak bantu cari mangsa. Pagi tadi saya pergi seorang ke lokasi berkenaan.
"Saya nampak perdu (buluh) besar dan mula mencari. Sebaik tersentuh (mayat), saya terus mengigil, rasa nak pitam. Masa tu saya panggil seorang pakcik sebelum dua anggota bomba datang dan angkat mayat tu,’’ katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Operasi SAR oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dengan bantuan Polis Diraja Malaysia telah menemukan mayat keempat-empat mangsa.
Mangsa terakhir Siti Aisyah Kassim, 5, ditemukan jam 4.26 petang berhampiran Surau Bukit Kemboja kira-kira 7km dari lokasi kejadian.
Dua lagi mangsa yang meninggal dunia masing-masing berusia 11 tahun adalah Qistina Puteri Wira dan Noraiman Wahida Mohd Rosli.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, keempat-empat mereka hilang dihanyutkan arus deras di kawasan air terjun Kampung Buku, dekat Lubuk Semilang, Langkawi.
#Air Terjun Kampung Buku Lubuk #Arman Ismail #kepala air #Noraiman Wahida Mohd Rosli #Qistina Puteri Wira #Shahtirah Saad #Siti Aisyah Kassim #Surau Bukit Kemboja
;