Tragedi kepala air: Aszura sempat suruh cari pertolongan sebelum lemas - Kakak
Bernama
Februari 8, 2024 23:41 MYT
Februari 8, 2024 23:41 MYT
TAPAH: Arwah Aszura Bani, 36, yang maut dalam tragedi kepala air di Sungai Kenjur, Kampung Poh, Bidor, sempat menyuruh kakaknya mencari bantuan daripada orang kampung ketika terperangkap dalam kejadian itu sebelum mangsa bersama tiga anaknya hilang dihanyutkan air.
Ia diceritakan sendiri kakak mangsa, Aslinda Bani, 38, yang berkata kejadian pada petang semalam itu berlaku sekelip mata dan dia yang turut terperangkap terselamat selepas ditarik oleh seorang penduduk.
"Pada waktu itu, arwah yang sedang merangkul dua anaknya minta saya cari bantuan daripada penduduk kampung, manakala seorang lagi anaknya dipegang pembantu rumah yang turut terperangkap.
"Lepas dapat bantuan, saya kembali ke tempat kejadian tetapi semua telah hilang kecuali pembantu rumah yang terselamat. Mayat adik saya ditemukan berhampiran tempat kejadian," katanya yang tidak mampu menahan sedih atas kehilangan adiknya itu.
Aslinda ditemui pemberita ketika pengebumian jenazah tiga anak Aszura, Hanum Marissa Azam, 2, Hafif Muhayat, 4 dan Hanna Mikayla, 7.
Jenazah tiga beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada kira-kira 6.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Pekan Bidor di sini hari ini, bersebelahan pusara Aszura yang dikebumikan tengah hari tadi.
Sementara itu, suami kepada Aszura, Azam Radin Mustapha Amiruddin, 46, yang terlalu sedih atas kejadian menimpa isteri dan anaknya, berkata ketika kejadian dia sedang bekerja di Gopeng dan bergegas ke tempat kejadian apabila diberitahu oleh seorang daripada anak saudaranya.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, isteri saya sudah ditemukan lemas," katanya sebak.
Sementara itu, kakak Azam, Ainur, 51, memberitahu arwah Hafif cuba diselamatkan oleh pembantu rumah yang berpaut pada batu sungai ketika kejadian, namun terlepas daripada pelukan wanita itu.
"Arwah meminta supaya bibik tidak melepaskan dia dan memberitahu dia sayangkan bibik namun pengasuh itu tidak berdaya kerana air sungai terlalu deras," katanya.
Dalam kejadian semalam, enam sekeluarga itu dan seorang pembantu rumah terperangkap dalam kejadian kepala air kira-kira 4 petang sebelum mayat Aszura ditemukan petang semalam, disusuli penemuan mayat Hafif 9.45 malam tadi dan mayat Hanna Mikayla dan Hanum Marissa ditemui pagi tadi.
Aslinda dan anaknya yang berusia 12 tahun serta pembantu rumah wanita warga Indonesia selamat.
-- BERNAMA