Tragedi kenduri kahwin: Ibu dan tiga anak maut, kereta bertembung di persimpangan lampu isyarat
Mohamad Zalani Atan
Januari 28, 2022 19:43 MYT
Januari 28, 2022 19:43 MYT
BENTONG: Empat sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Kampung Lebu di susur ke Lebuhraya Central Spine Road (CSR) Bentong tengah hari Jumaat.
Difahamkan dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, ibu dan tiga anaknya yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) j dikatakan dalam perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan telah dirempuh pacuan empat roda yang melanggar lampu isyarat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 2.40 petang Jumaat.
Zulfadli berkata, terdapat enam mangsa dalam kejadian tersebut dan empat daripadanya disahkan meninggal dunia d ilokasi kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan.
Dua lelaki dewasa pemandu Vellfire dan Navara yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Semua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.