Tragedi Kemensah Heights: "Saya tergamam lihat tanah di luar rumah runtuh" - Penduduk

Fareez Azman
September 19, 2021 15:41 MYT
Noor Atila Zolkefli mengakui sangat tergamam apabila ternampak tanah di luar kediamannya runtuh manakala pokok buluh sudah mula menyembah bumi dan memasuki ruang dapur. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Ampang pada malam Jumaat meninggalkan kesan yang mendalam kepada emosi penduduk di Taman Bukit Kemensah Indah.
Menurut salah seorang penduduk, Noor Atila Zolkefli, 33, ketika kejadian berlaku, dia sedang berehat di ruang tamu sebelum satu bunyi dentuman kuat kedengaran di bahagian dapur.
Sebaik terdengar dentuman itu, Noor Atila menyangka ayah dan adiknya terjatuh dari lantai loteng kediaman kerana mereka sedang mengemas di situ.
"Saya ingat mereka jatuh, lepas itu ayah dan adik saya bergegas turun nak tengok apa yang jadi. Lepas itu saya nampak di belakang rumah tanah dah jatuh… pokok buluh dah masuk ke dapur," katanya yang mengakui tergamam semasa melihat kejadian itu.
BACA: Tragedi Kemensah Heights: Masih ada pergerakan tanah di kawasan runtuhan - Pengarah JMG Selangor
BACA: Tanah runtuh Kemensah Heights: Masa, penduduk diminta bersedia kemungkinan lebih buruk
BACA: Tragedi Kemensah Heights: Pembinaan tambahan tidak ikut garis panduan - Takiyuddin
Dalam keadaan panik, Noor Atila berkata, ayahnya segera menghubungi talian kecemasan 999 sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian.
"Waktu itu agak kelam-kabut, semua jiran keluar nak tahu apa yang berlaku. Masing-masing ceritakan pengalaman terkejut sehinggakan ada seorang jiran yang seperti sesak nafas apabila mendengar (kejadian) tanah runtuh.
"Kami pun tidak sempat nak kemaskan barang hanya ambil benda penting sahaja," cerita Noor Atila lagi.
Sejak kejadian itu, Noor Atila mengakui, dia sangat trauma apabila mendengar bunyi deruan air sungai.
"Kalau nampak tanah runtuh memang tidak selamat, kami pun keluar dari rumah takut apa-apa jadi, sebab semua rumah teres. Trauma dan fobia bila dengar air sungai deras,” katanya kepada Astro AWANI.
#Tragedi Kemensah Heights #tanah runtuh #penduduk trauma #Taman Bukit Kemensah Indah
;