Tragedi Kemensah Heights: Pembinaan tambahan tidak ikut garis panduan - Takiyuddin

Fareez Azman
September 19, 2021 12:50 MYT
Pemerhatian pihak berwajib juga mengenal pasti ada juga pemilik kediaman di Kemensah Heights melakukan penambahan struktur bangunan tanpa kelulusan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Siasatan awal di kawasan lokasi tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights mendapati terdapat perlanggaran garis panduan bangunan terutama di lereng bukit.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pemerhatian pihak berwajib juga mengenal pasti ada juga pemilik kediaman melakukan penambahan struktur bangunan tanpa kelulusan.
Beliau berkata, garis panduan pembinaan bangunan di lereng-lereng bukit dan kecerunan sudah disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Saya melihat ada pembinaan pada pemerhatian saya mungkin melanggar peraturan ditetapkan, oleh sebab itu berlaku kejadian tanah runtuh ini," katanya dalam sidang media selepasa melakukan tinjauan di Kemensah Heights pada Ahad.
Tanah Runtuh | Terdapat pembinaan yang menyalahi peraturan di Kemensah Heights - Takiyuddin
BACA: 19 rumah teres dua tingkat terjejas tanah runtuh - Bomba
BACA: Tragedi Kemensah Heights: Laporan kajian JMG dikeluarkan Selasa - Takiyuddin
Takiyuddin berkata, kerja-kerja penambahan struktur kediaman itu dilakukan pemilik atas faktor bilangan ahli keluarga bertambah.
Bagaimanapun, katanya, setiap penambahan binaan seharusnya mengikut undang-undang ditetapkan agar kejadian tidak diingini boleh berlaku.
"Kalau ikut segala kriteria dilakukan tidak akan berlaku apabila pembinaan tanpa izin dan sebagainya," jelas beliau lagi.
Pada Jumaat malam, seramai 28 keluarga dan 19 buah kediaman terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights.
Ketika ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang melakukan kajian bagi mengenal pasti kejadian tanah runtuh sementara mangsa-mangsa yang terjejas sudah dipindahkan di dewan orang ramai.
Kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor turut menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.
#Tragedi Kemensah Heights #pembinaan tambahan #tidak ikut garis panduan #Takiyuddin Hassan
;