Tragedi Katamaran: Identiti enam masih hilang dikenal pasti

Bernama
Januari 30, 2017 13:50 MYT
Pada Ahad, 22 mangsa termasuk 20 warga China ditemukan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga warga China ditemukan terkorban dalam tragedi itu.
Identiti enam mangsa yang masih hilang dalam tragedi bot pelancong karam telah dikenal pasti, merangkumi lima warga China dan seorang kru, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam satu kenyataan di sini, APMM berkata warga China terbabit dikenal pasti sebagai Sheng Jiang Jiang (lelaki/50 tahun); Dong Mei (wanita/umur tidak dinyatakan); Li Qun (gender/ umur tidak dinyatakan); Luo Hong Yuan (lelaki/ 51) dan Lu Gua Hang (lelaki/25).
Kru yang hilang pula dikenal pasti sebagai Absoy Kasim (lelaki/umur tidak dinyatakan).
Pihak berkuasa juga mengenal pasti identiti seorang lagi mangsa yang maut yang dibawa balik awal hari ini sebagai lelaki warga China, Xie Luo, 48 tahun.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan meliputi kawasan pencarian seluas 1,500 batu nautika persegi, kata APMM.
Sementara itu, Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar dijangka mengadakan sidang akhbar sempena hari ketiga operasi SAR pada pukul 3 petang ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din juga dijangka mengadakan sidang akhbar pada pukul 5 petang ini.
Bot jenis katamaran itu yang membawa tiga anak kapal dan 28 pelancong dari China dipercayai karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada 10 pagi Sabtu, sejam selepas mereka meninggalkan jeti Tanjung Aru di sini menuju Pulau Mengalum, destinasi pelancong kira-kira 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.
Semalam, 22 mangsa termasuk 20 warga China ditemukan di perairan Semarang dekat Labuan, manakala tiga warga China ditemukan terkorban dalam tragedi itu.
-- BERNAMA
#bot Catamaran karam #kru bot #Pelancong China #Ramli Din #tekong
;