Tragedi katamaran: "Harapkan keajaiban temui mangsa dalam keadaan hidup"
Bernama
Februari 1, 2017 19:07 MYT
Februari 1, 2017 19:07 MYT
Agensi mencari dan menyelamat mengharapkan keajaiban untuk menemui enam lagi mangsa bot karam di kawasan perairan Pulau Mengalum dalam keadaan hidup, jika mereka masih gagal ditemui hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata kebiasaannya mangsa yang terjatuh ke laut sukar untuk ditemui hidup selepas hari keenam.
"Kalau mengikut hukum alam, kalau sudah masuk hari keenam ini, agak sukar (untuk mangsa hidup). Kita mengharapkan keajaiban. Kalau ada keajaiban, itu kita tidak tahu, itu kuasa Tuhan. Sukar untuk mereka hidup," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Adam berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat kepada Duta China di Malaysia, He Huang Hui Kang berkenaan perkembangan terbaharu operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pusat operasi APMM di Likas, dekat sini hari ini.
Menurut Adam kebiasaannya jaket keselamatan yang dipakai mangsa tidak akan mampu bertahan lebih daripada enam hari di samping panas terik serta kekurangan air di dalam badan yang dialami mangsa.
Bagaimanapun, kata Adam, agensi SAR tidak akan berputus dalam meneruskan operasi kerana berdasarkan pengalaman di Kudat pada tahun lalu, anggota APMM pernah menemui mangsa terjatuh ke laut yang masih hidup walaupun selepas 10 hari kejadian berlaku.
Adam juga menjelaskan kebiasaannya, sekiranya ada mangsa sudah tenggelam, mayat mereka akan timbul selepas hari kelima.
Mengenai operasi SAR hari ini, Adam berkata ia melibatkan 22 aset laut dan udara daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan aset dari negara Brunei Darussalam.
Katanya SAR hari ini juga meliputi kawasan perairan Miri, Sarawak, dan kawasan carian hari ini meliputi kawasan seluas kira-kira 3,900 batu nautika persegi.
Adam juga berkata pihaknya juga telah memaklumkan kepada kapal dan bot yang melalui kawasan perairan negara mengenai kes bot karam itu serta enam lagi mangsa yang masih hilang agar memaklumkan agensi SAR jika menemui sebarang petunjuk.
Selain itu, APMM juga telah memaklumkan persatuan nelayan Kota Kinabalu yang mengendalikan kira-kira 180 bot nelayan agar turut bekerjasama dalam pencarian enam lagi mangsa berkenaan.
Mengenai satu mayat lelaki dikenali sebagai Nonoi, 39, yang ditemui di Pulau Mamutik oleh pegawai Taman Tamn Sabah pagi tadi, Adam berkata pihak hospital mengesahkan bahawa lelaki itu bukan penumpang bot pelancong berkenaan, sebaliknya mayat pemancing yang dilaporkan hilang pada 30 Jan lalu di Pulau Denawan.
Dalam tragedi 10 pagi Sabtu lalu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56 kilometer di barat laut Kota Kinabalu.
Setakat ini, 25 mangsa dijumpai, termasuk tiga yang maut. -- Bernama