Tragedi jala ikan: Mayat kanak-kanak perempuan lemas ditemui
Sinar Harian
April 2, 2024 12:46 MYT
April 2, 2024 12:46 MYT
SERDANG: Seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia yang maut selepas dihanyutkan arus deras ketika menjala ikan bersama keluarganya di parit monsun dekat Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan di sini ditemui hari ini.
Mangsa Riska Amelia, 4, merupakan mayat terakhir dalam tragedi yang mengorbankan tiga nyawa itu, ditemui di sebuah lombong berhampiran dengan Jalan Puchong - Cyberjaya, Putra Perdana hari ini selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima maklumat berkaitan penemuan mayat mangsa daripada penduduk di Putra Perdana.
"Mayat kanak-kanak itu dijumpai jam 9 pagi iaitu tujuh kilometer dari tempat kejadian sebelum dibawa oleh pihak bomba menggunakan bot dan kemudiannya telah disahkan identiti oleh bapanya.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi proses bedah siasat," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pada Ahad, dua beranak selamat manakala tiga lagi maut dihanyutkan arus deras ketika aktiviti menjala ikan di sini.
Mangsa yang selamat Ahmad Suriadi (bapa), 40 dan anaknya Mohd Alif, 9, manakala individu maut iaitu Juliana (ibu), 38, Mohd Diham, 10 dan Riska Amelia, 4.
Berdasarkan keterangan lelaki dewasa itu, mereka sekeluarga ke lokasi itu untuk memancing dan menjala kira-kira jam 3.30 petang.
Pada awalnya, keadaan cetek selain cuaca baik sebelum berlaku hujan dan air deras menyebabkan mereka yang berdiri di simen longkang itu dipercayai tergelincir sebelum terjatuh di kedalaman air yang deras kira-kira 1.2 meter. - Sinar Harian