Tragedi ikan buntal: Keluarga mahu peniaga diheret ke mahkamah
Sinar Harian
April 8, 2023 18:53 MYT
April 8, 2023 18:53 MYT
KLUANG: Keluarga pasangan warga emas yang maut selepas makan ikan buntal goreng berharap pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap penjual dan pembekal ikan beracun itu.
Anak mangsa, Ng Ai Lee, 51 berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu menguatkuasakan akta sedia ada dan mengheret mereka yang bersalah ke mahkamah.
Menurutnya, khabar duka mengenai pemergian ayah Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, yang diterima kira-kira jam 6.30 pagi Sabtu, dianggap sebagai satu mimpi kerana pada Jumaat ayahnya dalam keadaan sihat selain masih boleh mengenali serta berbual mesra.
Tambah Ai Lee, ayahnya juga sempat bertanyakan tentang keadaan ibunya, namun terpaksa mengatakan sedang berehat di rumah kerana bimbang kesihatannya terganggu.
"Kami amat mengharapkan KKM dan LKIM menguatkuasakan akta sedia ada di mana Seksyen 13a Akta Makanan daripada KKM serta P.U. 104 LKIM secara jelas melarang menjual atau menyediakan bahan makanan yang tidak sesuai dimakan oleh manusia.
"Tindakan ini perlu bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kepada keluarga atau orang lain," katanya.
Dalam pada itu, Ai Lee turut menggesa Pejabat Kesihatan Daerah Kluang (PKD) memberikan jawapan segera hasil siasatan yang dilakukan.
Pada 28 Mac lalu, media melaporkan seorang wanita warga emas berusia 83 tahun maut, manakala suaminya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat mengalami keracunan selepas menikmati hidangan ikan buntal di Kluang.
Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon menerusi kenyataannya memaklumkan suami wanita itu dirawat di ICU Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang.
Kes melibatkan sepasang suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal daripada penjual secara dalam talian melalui Facebook.
"Bekalan diterima pada 25 Mac lalu (Sabtu) pada waktu pagi. Selepas itu, ikan berkenaan dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.
"Dalam jam 3 petang, wanita berkenaan mula menunjukkan gejala sesak nafas dan menggigil. Kira-kira sejam kemudian, suaminya turut mengalami gejala sama," katanya. -Sinar Harian