Tragedi Hawk: Kementerian Pertahanan perlu mengambil iktibar, langkah proaktif
Afiezy Azaman
November 17, 2021 11:40 MYT
November 17, 2021 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan perlu mengambil iktibar dan langkah proaktif lewat kemalangan yang menimpa perajurit negara.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi memastikan insiden seperti melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sehingga mengorbankan nyawa tidak berulang.
"Sayu mendengar perkhabaran duka berkenaan nahas yang membabitkan pesawat pejuang Hawk 108 malam tadi.
"Kita bukan sahaja telah kehilangan seorang perajurit malah kehilangan seorang kepala keluarga. Didoakan semoga arwah Kapten Mohamad Affendi Bustamy diterima di sisiNya.
"Semoga keluarga Allayarham diberikan kesabaran yang tinggi atas kepergian tulang belakang keluarga dan saya turut mendoakan seorang lagi perajurit yang cedera, Mejar Mohd Fareez Omar diberi kesembuhan seperti sediakala," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Pada lewat malam Selasa, TUDM mengesahkan pesawat Hawk terhempas di landasan Pangkalan Udara Butterworth.
Juruterbang yang maut dikenali Kapten Mohamad Affendi Bustamy, manakala rakannya, Mejar Mohd Fareez Omar kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan stabil.