Tragedi Hawk: Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah kepada keluarga Kapten Mohamad Affendi

Hilmi Malik
November 17, 2021 17:48 MYT
Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarganya sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini. - Gambar/ FB Istana Negara
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang terkorban dalam tragedi pesawat Hawk 108 di Butterworth, malam tadi.
Turut menzahirkan ucapan takziah adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarganya sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham ke Rahmatullah dan menzahirkan harapan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial
“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada TUDM dan negara.
"Baginda dalam masa sama turut menyifatkan insiden itu sebagai satu kehilangan besar kepada TUDM dan negara," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut berharap agar seorang lagi mangsa cedera, Mejar Mohd Fareez Omar yang ketika ini sedang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, agar segera sembuh.
#tragedi hawk #Pesawat TUDM terhempas #Pangkalan Udara Butterworth #Yang di-Pertuan Agong
;