Tragedi hari keluarga: Remaja mati lemas selepas dihanyut arus di Tanjung Bidara
Astro Awani
April 2, 2017 14:34 MYT
April 2, 2017 14:34 MYT
Keriangan program hari keluarga bertukar tragedi apabila seorang pelajar tingkatan empat ditemukan lemas selepas bermandi-manda di Pantai Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 9 pagi, mangsa dari Sikamat, Seremban, Muhammad Hamdani Mohd Asri, 16, bersama abangnya Redzuan Ariff, 24, sedang asyik bermandi-manda di pantai berkenaan sebelum kedua-dua mereka hanyut dibawa arus.
Bagaimanapun, Redzuan Ariff berjaya diselamatkan oleh orang ramai dan anggota keluarga.
Mayat adiknya yang lemas kemudian ditemui pukul 12.35 tengah hari selepas lebih kurang dua jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan jarak hanya 20 meter dari pesisir pantai.
Menurut salah seorang saudara mereka, Mohd. Najib Kassim, 39, mereka menginap di pusat peranginan berhampiran sejak semalam untuk program hari keluarga.
Operasi mencari didijalankan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia.