Tragedi Gawai: Bot karam, remaja 17 tahun hilang

Astro Awani
Mei 30, 2023 06:30 MYT
Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kapit diatur gerak ke lokasi kejadian. - Foto JBPM Sarawak
KAPIT: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun hilang selepas bot yang dinaikinya bersama 13 yang lain karam ketika pulang bergawai di Rumah Geramong Nanga Spioh.
Menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, kejadian malang itu dipercayai berlaku akibat arus gejolak deras, manakala bot yang dinaiki pula lebih muatan.
"Remaja perempuan yang hilang itu dikenal pasti sebagai Linsa Empih Melin," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menjelas lanjut, Henderi berkata, bot malang tersebut dinaiki oleh enam lelaki dan tiga perempuan dewasa, selain tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
"Orang awam yang menyaksikan insiden tersebut telah menghubungi pihak bomba sekitar jam 2:37 petang.
Lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kapit diatur gerak ke lokasi kejadian namun setelah melakukan penilaian, semua pihak bersetuju untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi Rabu.
“Ia berpunca daripada kesesakan jalan di Kapit serta faktor cuaca yang kurang elok, menyebabkan bot penyelamat tidak dapat dibawa ke lokasi kejadian," katanya.
#bot karam #tragedi Gawai #remaja #lebih muatan
;