Tragedi Feri Triso: Tiga SOP utama dikuatkuasakan cegah kejadian berulang
Astro Awani
Januari 2, 2021 17:28 MYT
Januari 2, 2021 17:28 MYT
SEBUYAU: Tiga garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan serta-merta oleh Kerajaan Sarawak bagi mengekang tragedi mengorbankan sembilan sekeluarga di pangkalan jeti Triso, di sungai Batang Lupar berulang.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, penguatkuasaan itu melibatkan 12 pangkalan feri di Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur berkata, SOP pertama yang akan diambil segera adalah membina pagar penghadang di setiap tanjakan pangkalan feri.
“Dengan adanya pagar penghadang ini, setiap kenderaan di tanjakan yang berdepan sebarang masalah teknikal tidak akan terjatuh ke dalam sungai seperti yang berlaku sebelum ini.
“SOP kedua pula, hanya pemandu yang dibenarkan berada di dalam kenderaan ketika mahu memasuki feri dan semua penumpang lain perlu keluar dari kenderaan," katanya dalam dalam sidang media pada Sabtu.
Tambah Masing, bagi SOP ketiga pula, kerajaan negeri menetapkan setiap pangkalan jeti di negeri itu mesti dikawal selia oleh pengawal.
Ini kerana katanya, pengawal yang ditugaskan mesti memberi arahan sebaiknya bagi membimbing pemandu sebelum dan selepas memasuki feri.
“Keperluan menyediakan pengawal ini penting kerana mereka yang akan bertindak memberi kata putus kepada pengguna dan mengawal setiap kenderaan masuk serta keluar dari feri.
“Kita juga perlu menyediakan pengawal yang berpakaian seragam (uniform) kerana masyarakat di sini tidak akan mendengar arahan daripada pengawal yang tidak mengenakan pakaian seragam,” tambah Masing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang Jumaat, sembilan sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau.
#Feri Triso
#kereta tenggelam dalam sungai
#SOP
#Tragedi Feri Triso
#JKR
#LSSS
#James Jemut Masing
#sembilan maut di feri Triso