Tragedi Feri Triso: Saya reda, kerana syurga buat mereka - anak mangsa
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 2, 2021 12:23 MYT
Januari 2, 2021 12:23 MYT
SIMANGGANG: Terkejut, hilang kata namun tabah menerima berita kematian lima beradik serta seorang ibu yang sangat disayangi.
Bagi anak ketiga, daripada tujuh beradik, Mohd Imran Syafie Mohd Hamzah, 13, tragedi tahun baharu itu adalah ujian yang paling berat bagi dirinya sekeluarga.
"Saya mulanya terkejut seakan tidak percaya. Namun saya harus reda dan kekal tenang, kerana saya yakin ada syurga buat mereka”, luahnya kepada wartawan Astro Awani yang ditemui di Hospital Sri Aman pada Sabtu.
Tambah Mohd Imran, tiada lagi kemeriahan buat mereka sekeluarga tetapi hidup perlu diteruskan tiga beradik iaitu adiknya Fatihah Najwa, 10 tahun dan bapanya Mohd Hamzah Razali.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd Imran berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada neneknya.
"Nenek saya yang menghubungi bapa memberitahu mengenai kejadian ibu dan adik-adik yang lain kemalangan jatuh sungai," katanya.
Menurut pelajar tingkatan satu itu lagi, ketika kejadian dia dan ayahnya sedang melakukan aktiviti dakwah 40 hari di Kapit dan terpaksa mengizinkan ibu menemani adik-adiknya untuk kembali mendaftar ke sebuah maahad tahfiz di Kuching.
Setakat jam 11.40 pagi, jenazah keluarganya dan tiga lagi mangsa yang lain masih menjalani prosedur bedah siasat di Hospital Sri Aman dan akan dimandi, dikafan serta disembahyangkan di surau hospital berkenaan.
Keenam-enam jenazah beragama Islam itu akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu di sini selepas waktu Asar pada Sabtu.