Tragedi Feri Triso: Pihak berwajib diminta prihatin keselamatan penumpang feri
Bernama
Januari 4, 2021 15:51 MYT
Januari 4, 2021 15:51 MYT
SEBUYAU: Pihak berwajib perlu mengambil perhatian serius dan memastikan terdapat petugas yang sentiasa bertugas mengawal keadaan lalu lintas sepanjang pengoperasian feri, kata seorang penduduk Kampung Meludam Awang Khalid Awang Kamarudin.
Menurut Awang Khalid, selama ini keselamatan kurang terkawal sehingga menyebabkan penumpang keliru arahan siapa untuk dipatuhi.
"Kalau sudah ada pengawal jadi memudahkan kita, khususnya pemandu untuk mengetahui bila kita boleh bergerak. Jadi kita perlu ikut arahan daripada pengawal.
"Selama ini kawalan (keselamatan oleh operator feri) kurang dan apabila berlaku macam ini, baru kita hendak bertindak. Sepatutnya daripada awal lagi langkah-langkah keselamatan yang sebaik-baiknya diambil," katanya kepada Bernama.
Tragedi Feri Triso: Upacara pengebumian ditunda
Awang Khalid juga mencadangkan agar membina penghadang bagi memastikan kereta boleh bergerak dengan lebih teratur dan selamat ketika memasuki dan keluar dari feri.
Bagi warga emas, penumpang sakit dan kanak-kanak pula diberi kelonggaran untuk bersama pemandu di dalam kereta, katanya.
"Jadi, kalau hendak turun ke bawah mesti ada penghadang besi di tepi supaya mereka yang berjalan masuk ke feri dapat berpaut sekiranya terdapat kecemasan dan mengelakkan individu atau kenderaan terjatuh ke dalam sungai," katanya.
Sementara itu, Ratie Chang, 19, dari Kuching pula mencadangkan selain penghadang besi di sepanjang laluan masuk ke pelantar, pihak operator feri perlu menyediakan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) seperti kerusi dan tempat berpegang.
-- BERNAMA