Tragedi Feri Triso: Pengebumian tiga lagi mangsa ditunda
Astro Awani
Januari 3, 2021 09:47 MYT
Januari 3, 2021 09:47 MYT
SIBU: Pengebumian tiga mangsa kemalangan kenderaan terjunam ke sungai di Pangkalan Jeti Triso di Batang Lupar akan disempurnakan pada Selasa, 5 Januari ini.
Mendiang Lorna Ting, 33 tahun bersama dua lagi anaknya, Alvin Phang, 12, dan Wallace Phang, 7, dijangka dikebumikan di Taman Memorial Nirvana, Sibu.
Perkara itu disahkan abang sulung Lorna, Ting Hing Soon ketika ditemui di Sibu Mortuary Bukit Lima di sini.
Jelas Hing Soon, keputusan menunda upacara pengebumian itu adalah untuk memberi ruang kepada saudara mara melakukan penghormatan terakhir.
Ketiga-tiga mayat diurus dan ditempatkan di Sibu Mortuary Bukit Lima yang mana ahli keluarga mangsa akan terus bergilir menjaga mayat sebelum dikebumikan.
Terdahulu, kesemua mendiang tiba di Sibu Mortuary Bukit Lima dari Hospital Sri Aman kira-kira pukul 2 pagi Ahad.
Dalam kejadian pada 1 Januari lalu, mendiang Lorna Ting bersama kakaknya, Siti Aisyah Abdullah dan ahli keluarga mereka meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terjunam ke sungai Batang Lupar di Pangkalan Jeti Triso dekat Sebuyau.
Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kapit ke Kuching.
#Tragedi Feri Triso
#Lorna Ting
#kemalangan jatuh sungai
#mangsa jatuh sungai
#jeti Triso
#Batang Lupar
#Taman Memorial Nirvana Sibu
#Ting Hing Soon