Tragedi Feri Triso: Lima van jenazah digerakkan ke Sri Aman
Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 2, 2021 08:46 MYT
Januari 2, 2021 08:46 MYT
KUCHING: Sekurang-kurangnya lima van jenazah akan digerakkan dari Kuching ke Hospital Sri Aman untuk memudahkan pengurusan penghantaran jenazah kemalangan di Pangkalan Feri Triso, semalam ke rumah masing-masing.
Inisiatif penyediaan van jenazah itu merupakan tanda solidariti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), HUGS PROJECT (Helping Unfortunate Groups and Society) dalam usaha meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat.
Bagi Penyelaras HUGS PROJECT Sarawak, Mohd Sepian Abang Daud, usaha itu turut mendapat sokongan selain digerakkan bersama dengan beberapa NGO lain seperti Tabung Khiarat Kematian Masjid Nurul Khair; Harakah Islamiah (Hikmah) Sarawak.
"Kami akan bergerak ke Sri Aman sekitar pukul 8 pagi bersama beberapa orang sukarelawan. Kami berharap inisiatif ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Mohd Sepian, HUGS Project dan sukarelawan yang terlibat bersedia membantu dalam apa jua keperluan pengurusan jenazah.
#Tragedi Feri Triso
#Van jenazah disediakan
#kereta terjunam
#Sungai Batang Lupar
#Pangkalan Feri Triso
#Sarawak
#Sri Aman
#HUGS project