Tragedi Feri Triso: Kaji semula SOP di jeti feri di Sarawak - Wan Junaidi

Munirah Mudzamli
Januari 2, 2021 12:11 MYT
Wan Junaidi, siasatan itu perlu mengambil kira dan menilai langkah-langkah keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di jeti dan feri.
KUCHING: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh berhubung tragedi feri Triso yang mengorbankan sembilan sekeluarga petang semalam.
Beliau yang Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, siasatan itu perlu mengambil kira dan menilai langkah-langkah keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di jeti dan feri.
Wan Junaidi yang pernah menjadi Ahli Parlimen Batang Lupar menjelaskan, SOP keselamatan yang jelas dan teratur adalah penting lebih-lebih lokasi itu adalah tempat awam.
"Satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan... ia perlu melihat dari semua sudut, dari aspek keselamatan hingga ke pergerakan kenderaan dan penumpang iaitu ketika proses naik serta turun feri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah Wan Junaidi, pengusaha feri juga perlu mempunyai pengawal lalu lintas bagi menyelaras pergerakan kenderaan masuk dan keluar.
Katanya, kakitangan di pangkalan jeti itu juga harus diberi latihan mengenai aspek keselamatan dan penyelamat agar dapat bertindak cepat ketika berlaku kecemasan.
BACA: Tragedi Feri Triso: Mangsa dikebumi di Simanggang dan Sibu hari ini
BACA: Mangsa gagal imbang kenderaan sebelum jatuh ke sungai - Bomba
BACA: Tragedi Feri Triso: Sembilan maut kenderaan pacuan empat roda terjunam ke sungai
Selain itu, Wan Junaidi turut mezahirkan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.
Dalam insiden di Pangkalan Feri Triso semalam, sembilan sekeluarga, termasuk bayi berusia empat bulan mati lemas selepas kenderaan pacuan empat roda mereka gagal dikawal dan meluru ke dalam sungai, selepas feri yang hendak dinaiki penuh.
#Kaji semula SOP #jeti feri sarawak #Pangkalan Feri Triso #kereta terjunam dalam sungai #Wan Junaidi
;