Tragedi Feri Triso: Ini adalah kecuaian sendiri, bukan jatuh feri - Masing
Azizah Alwi
Januari 2, 2021 13:56 MYT
Januari 2, 2021 13:56 MYT
SEBUYAU: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mengesahkan insiden kereta terjunam ke Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau hingga mengorbankan sembilan sekeluarga semalam adalah kecuaian sendiri.
Masing yang juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur berkata, perkara itu selepas beliau mendapatkan maklumat daripada operator feri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS).
Tegasnya lagi, maklumat mengenai kemalangan sendiri itu tidak penting sebaliknya apa yang diambil perhatian kerajaan negeri adalah kehilangan nyawa rakyat.
"Memang kejadian ini merupakan kemalangan sendiri tetapi apa yang penting adalah nyawa yang terkorban.
"Kita perlu memastikan agar kejadian sama tidak berulang di masa akan datang dan ini merupakan tanggungjawab kerajaan negeri,” kata Masing.
Terdahulu, Masing melakukan lawatan di lokasi kejadian serta mengadakan perbincangan dengan operator feri, wakil JKR dan LSS.
Turut bersama dalam lawatan itu ialah Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang Jumaat, sembilan sekeluarga maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terjunam ke Sungai Batang Lupar dekat Sebuyau.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak juga tidak menolak kemungkinan tragedi itu berlaku disebabkan pemandu kenderaan gagal mengimbangi kenderaan dipandunya di laluan tersebut.
#Tragedi Feri Triso
#James Jemut Masing
#LSSS
#JKR Sarawak
#kereta terjunam dalam sungai
#sembilan mangsa maut