Tragedi Feri Triso: Gadis tular mendakap bayi tak bernyawa luah rasa pilu
Khairuddin Rushdi Ayuphan
Januari 3, 2021 19:34 MYT
Januari 3, 2021 19:34 MYT
SIBU: “Saya yang pegang bayi itu, selepas dia diselamatkan dari terperangkap saya cepat-cepat ambil dia.
“Ada juga orang yang cuba tolong bagi bantuan pernafasan tetapi tidak dapat diselamatkan kerana mereka sudah lebih sejam dalam sungai,”.
Itu kata Christina Ting, gadis yang tular gambarnya di media sosial kelihatan meraung menangis mendukung seorang bayi yang maut dalam kemalangan di Jeti Feri Triso dekat Sebuyau baru-baru ini.
Lebih menyedihkan apabila bayi yang didukung itu adalah sepupunya yang berusia empat bulan.
Ketika ditemui Astro AWANI, Christina berkongsi kesedihan yang dirasai apabila dua ibu saudara dan tujuh sepupu yang cukup rapat sejak mereka kecil kini meninggal dunia di depan matanya sendiri.
Akui gadis berusia 16 tahun itu lagi, keakraban tersebut turut diterjemahkan apabila dia pernah menjadi penjaga kepada sepupunya yang meninggal dunia dalam kejadian itu sewaktu ibu saudara, Siti Aishah Abdullah, 36 tahun ke luar negara mengikuti aktiviti keagamaan.
“Mana mungkin saya boleh lupa peristiwa ini. Kami rapat sejak kecil hinggakan ada di antara sepupu saya itu… saya jaga apabila ibu mereka ke luar negara kira-kira dua bulan.
“Apatah lagi mereka semua pergi depan mata saya. Sukar saya gambarkan perasaan sedih itu. Namun, saya akui saya perlu terima takdir ini,” katanya ketika ditemui di Sibu Mortuary Bukit Lima, Sibu pada Ahad.
Selain itu, Christina menjelaskan, dia sudah menganggap ibu saudaranya Siti Aishah sebagai iibu kandung sendiri kerana arwah banyak bantu membesarkannya sejak ibu dan bapanya berpisah.
Malah katanya, kenangan membuat dan menjual kuih bersama Siti Aishah akan terus tersemat dalam sanubari Christina.