Tragedi Feri Triso: Berat hati tapi kena terima hakikat mereka tiada - Suami Lorna

Fadilah Sulaiman
Januari 3, 2021 16:50 MYT
Phang Wei Bing, yang terkejut dengan berita sedih itu tidak menunggu lama sebaliknya bergegas ke Sri Aman dari rumahnya di Sibu sejauh 230 kilometer. - Foto Astro AWANI
SIBU: Berat hati tetapi menerima hakikat isteri serta anak-anak pergi buat selama-lamanya.
Namun, susuk tubuh Phang Wei Bing perlu cekal menerima ketentuan itu. Walaupun perit dan terseksa semuanya sudah terjadi.
Keluarga kecilnya iaitu isteri Lorna Ting, 33 dan dua anaknya masing-masing Alvin, 12, dan Wallace Phang, 7, bersama enam lagi saudara mereka terkorban dalam insiden kereta terjatuh ke sungai Batang Lupar di pangkalan Jeti Triso dekat Sebuyau petang Jumaat.
Malah, ketika sibuk menguruskan jasad isteri dan anak tersayang, Wei Bing kongsi detik ketika menerima perkhabaran sedih itu.
Sebaik sahaja menerima panggilan daripada abang iparnya Ting Hing Ping, Wei Bing yang terkejut tidak menunggu lama sebaliknya bergegas ke Sri Aman dari rumahnya di Sibu sejauh 230 kilometer.
BACA: Tragedi Feri Triso: Pengebumian tiga lagi mangsa ditunda
BACA: Tragedi Feri Triso: Sembilan maut kenderaan pacuan empat roda terjunam ke sungai
“Saya tak tunggu-tunggu, saya terus pergi. Tiada guna untuk saya tunggu di rumah saja. Saya terus saja memasuki kereta dan pergi ke Hospital Sri Aman seperti dimaklumkan oleh abang ipar saya.
"Saya tidak ke feri Triso sebab tidak tahu lokasi dan tak mahu buang masa mencarinya jadi saya tunggu di Hospital Sri Aman," ujarnya.
Wei Bing turut kongsi memori terakhir bersama keluarga kecilnya itu. Sebelum kejadian, anak sulung Alvin sepatutnya tinggal bersama Wei Bing di rumah mereka di Sibu.
“Pada mulanya, seorang anak saya (Wallace) ikut ibu dia manakala anak sulung (Alvin) tinggal dengan saya supaya saya tidak tinggal seorang diri.
“Tiba-tiba ketika itu anak sulung saya berkeras mahu ikut mak dia. Saya ingat lagi dia merungut manja kepada ibunya kerana selalu ditinggalkan. Dia kata kalau berterusan macam tu, nanti saya tak nak jaga mak kalau sudah tua nanti, gurau Alvin manja dengan ibunya," katanya.
Ketiga-tiga mangsa kini ditempatkan di Sibu Mortuary Bukit Lima, Sibu.
Pengebumian dijangka dilakukan pada selasa, 5 Januari 2021 di Taman Memorial Nirvana Sibu sekitar pukul 7:30 pagi.
#Tragedi Feri Triso #Phang Wei Bing #Lorna Ting #mangsa lemas #Sungai Batang Lupar #jeti Triso
;