Tragedi Everest: Pencarian Hawari diteruskan walau libat kos tinggi - Armizan

Fareez Azman
Mei 24, 2023 16:34 MYT
Jumaat lepas, Muhammad Hawari yang menyertai ekspedisi ME 2023 dilaporkan hilang ketika turun dari kem empat selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu. - Gambar fail
GOMBAK: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang dilaporkan hilang pada Jumaat diteruskan walaupun membabitkan kos tinggi.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak dan Menteri Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, kos pencarian tinggi kerana melibatkan penggunaan helikopter serta dibantu malim gunung.
"Sebab kos pencarian cukup tinggi melibatkan helikopter, malim gunung di sana dan Alhamdulilah Perdana Menteri memberi komitmen kerajaan akan membantu dari segi kewangan untuk proses pencarian selain sumbangan pihak-pihak terlibat.
"Proses pencarian masih diteruskan dan tindakan kerajaan tidak akan berhenti.
"Saya difahamkan jam 2.30 petang tadi Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) telah membuat sidang media di Parlimen memaklumkan komitmen kerajaan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarakan Op Ramah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini pada Rabu.
Jumaat lepas, Muhammad Hawari yang menyertai ekspedisi Malaysia Everest 2023 (ME2023) dilaporkan hilang ketika turun dari kem empat selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu dan dipercayai terjatuh di kawasan kaki Gunung Lhotse, Nepal.
Sehari sebelumnya, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME2023, dilaporkan meninggal dunia.
Lurah ais sedalam lebih 1,000 meter antara cabaran yang dilalui malim gunung atau sherpa ketika menjejakinya.
Selain menggunakan khidmat malim gunung, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal turut berikhtiar mengesan mangsa menggunakan isyarat telefon bimbit digunakan mangsa namun usaha berkenaan mengalami kesukaran berikutan isyarat terakhir dikesan adalah pada 6 Mei lalu.
Usaha pencarian dan mengesan Muhammad Hawari semakin suntuk ketika ini berikutan Kerajaan Nepal akan menutup semua aktiviti di pergunungan Everest pada 29 Mei atas faktor keselamatan.
#tragedi everest #pendaki Malaysia #Muhammad Hawari Hashim #operasi sar
;