Tragedi Everest: Operasi SAR Hawari tamat hari ini, disambung tahun depan

Astro Awani
Jun 16, 2023 15:06 MYT
Azim (tengah) berkata, operasi SAR terakhir yang diadakan semalam sepatutnya dilakukan pada Selasa lalu namun disebabkan cuaca buruk, pasukan SAR dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang terbabit.
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim, 33, ditamatkan secara rasmi hari ini dan akan disambung tahun depan.
Ketua Misi ME2023, Azim Afif Ishak berkata, pihaknya sudah menjalankan operasi SAR Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, bermula 19 Mei sehingga 15 Jun 2023 namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
Menurutnya, permit khas pencarian menggunakan dron dan SAR udara yang diluluskan pihak berkuasa Nepal juga sudah tamat dan aktiviti pendakian ke puncak Everest sudah ditutup bermula 29 Mei lalu.
Katanya, operasi SAR yang diadakan semalam turut mengesahkan satu objek antara Kem Dua dan Kem Tiga yang dikesan sebelum ini, hanyalah longgokan sampah dan khemah yang diterbangkan angin.
"Objek berkenaan dikesan melalui gambar dan video yang dirakam dron pada 8 Jun lalu... ia menunjukkan seolah-olah jasad Hawari berdasarkan warna sut yang digunakan beliau ketika misi pendakian.
"Namun kita tidak mendedahkannya sebelum ini kerana ia masih belum disahkan lagi.
"Semalam, tiga malim gunung bersama seorang jurugambar yang ditugaskan ke lokasi itu telah menjumpai objek itu dan mengesahkan ia bukan jasad Hawari," katanya pada dalam satu kenyataan selepas sidang media di Kathmandu hari ini.
Yang turut hadir, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Fadzle Abu Hasan; Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki dan ketua malim gunung, Nga Tenji.
Dua ahli keluarga Hawari turut hadir iaitu adik bongsu, Mohamad Ismail dan Azhar Ilias.
Misi pendakian ME2023 ini dikendalikan oleh syarikat Pioneer Adventure yang berpusat di Nepal dengan menyediakan tenaga malim gunung, logistik dan makanan sepanjang misi ke puncak Everest.
Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM1.48 juta dan Kerajaan Pulau Pinang (RM500,000) kepada Kelab Eksplorasi Altitud bagi operasi SAR Hawari.
Azim berkata, operasi SAR terakhir yang diadakan semalam sepatutnya dilakukan pada Selasa lalu namun disebabkan cuaca buruk, pasukan SAR dan helikopter tidak dapat masuk ke lokasi yang terbabit.
Katanya, operasi SAR ini dijangka disambung pada musim pendakian 2024 namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.
"Status Hawari diletakkan sebagai 'orang hilang' kerana jasadnya masih belum ditemui sehingga kini," katanya.
Azim menambah, penamatan operasi SAR ini juga sudah dibincangkan dan mendapat nasihat daripada pihak kedutaan Malaysia di Nepal.
Jelasnya, operator pengendali aktiviti pendakian ke puncak Everest di Nepal turut menyarankan agar operasi SAR ini ditangguhkan demi keselamatan pasukan SAR disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu ketika ini.
#tragedi everest #pendaki negara #Muhammad Hawari #SAR ditamatkan
;