Tragedi Everest: KBS keluar kenyataan berkaitan siasatan selepas operasi selesai - Hannah Yeoh
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 10, 2023 13:25 MYT
Jun 10, 2023 13:25 MYT
BUTTERWORTH: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum bersedia memberi sebarang ulasan berhubung siasatan tragedi kematian dan kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023).
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas semua perkara berkaitan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pergunungan itu selesai.
"Itu saya tak nak komen sebab operasi SAR, Wisma Putra sedang bantu di luar kalau kita dah bersedia baru kita akan berikan kenyataan," katanya ringkas.
Hannah berkata demikian ketika ditanya samaada KBS sudah menjalankan siasatan berhubung isu kematian dan kehilangan pendaki ME2023.
Beliau sebelum itu hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Malaysia Aktif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di Butterworth pad Sabtu.
Pada 21 Mei lalu, Pendaki Everest dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dalam kenyataan menggesa KBS serta penganjur melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden kematian dan kehilangan pendaki negara di gunung itu.
Katanya, ini kerana ia insiden kematian pertama sejak misi pendakian Everest Malaysia 1997 sehingga 2023.
Tambahnya lagi, pendakian ke puncak Everest bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh didaki sesuka hati.
Misi pendakian Everest kali ini melalui episod duka buat negara apabila seorang pendaki yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, meninggal dunia ketika ekspedisi menakluk puncak bekenaan pada ketinggian 8,000 meter, 18 Mei lalu.
Sementara itu, pendaki orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, pula dilaporkan hilang sehari selepas kematian Awang Askandar.
Kehilangan pendaki itu sudah masuk hari ke-23 namun sehingga kini dia masih belum ditemui.