Tragedi Everest: "Besar harapan saya Hawari ditemui walau dalam keadaan apa sekalipun" - Ibu
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 25, 2023 18:58 MYT
Mei 25, 2023 18:58 MYT
TASEK GELUGOR: Ibu pendaki yang juga peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), Muhammad Hawari Hashim, Che Tom Hassan, 64, melahirkan keyakinan bahawa anaknya itu masih hidup dan selamat.
Dengan linangan air mata, Che Tom turut berharap usaha mencari anaknya itu akan tetap diteruskan meskipun telah dimaklumkan misi tersebut bakal berakhir Ahad ini.
Che Tom juga percaya anak ketiga daripada lima beradik itu masih dapat bertahan susulan dikatakan mempunyai peralatan dan bekalan makanan yang mencukupi sewaktu dilaporkan hilang.
Mengulas lanjut dia berkata, sudah melakukan solat hajat bagi memohon petunjuk keberadaan anaknya namun sehingga kini masih belum mendapat jawapan.
"Masih ada harapan tetapi saya pun harap semua (sama-sama berdoa). Seorang saya tak kuat. Saya rasa dia masih ada, insya-Allah," katanya.
Dia juga masih menaruh harapan Muhammad Hawari, 33, akan pulang dalam keadaan selamat walau dalam apa keadaan sekalipun.
"Mereka kata (pencarian) sampai hari Ahad ini tetapi mereka kata tetap akan berusaha juga cari. Besar harapan saya (ditemui), apa (keadaan) sekalipun," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang ( ZPP),
Datuk Amran Hazali ke kediamannya di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis.
Amran berkata kali terakhir beliau berhubung dengan Hawari adalah pada 13 Mei lepas iaitu sewaktu dia mahu mendaki ke puncak gunung Everest.
"Kami di sini juga mengharapkan keluarga Hawari tetap kuat berhadapan dengan ujian besar dan sentiasa mendoakan Hawari dapat ditemukan, insya-Allah," katanya.
Dalam kunjungan ringkas itu, ZPP turut menyampaikan sumbangan wang tunai serta barang keperluan kepada ibu Muhammad Hawari.
Media sebelum ini melaporkan misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari yang hilang di kawasan pergunungan Everest akan ditamatkan Ahad ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran berkata, keputusan itu dibuat susulan notis penutupan semua aktiviti di pergunungan Everest mulai Isnin depan, yang dikeluarkan kerajaan Nepal.
Muhammad Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat.
Dia yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei.
Mangsa merupakan anggota kumpulan sama yang menyertai ME 2023 bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, yang dilaporkan meninggal dunia ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter.