Tragedi Double Six: 'Jika beroperasi tanpa kelulusan, mengapa pesawat dibenar terbang?' - Bekas KM Sabah
Fareez Azman
April 27, 2023 19:56 MYT
April 27, 2023 19:56 MYT
KUALA LUMPUR: Susulan laporan Kerajaan Australia yang mendapati Sabah Air, syarikat pengendali pesawat Nomad N-22B yang terhempas dalam tragedi Double Six pada 6 Jun 1975 didapati beroperasi secara tidak sah.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yong Teck Lee hari ini mempersoal hal kebenaran yang diberikan kepada pesawat terbabit untuk beroperasi.
Ujarnya, sekiranya syarikat itu beroperasi tidak sah, pihak berkuasa ketika itu masih memberi kelulusan pesawat terbabit untuk terbang membawa penumpang.
"Mengenai laporan dari kerajaan Australia, tragedi Double Six ini kononnya beroperasi tanpa kelulusan, telah menimbulkan persoalan.
"Kalau tanpa kelulusan, kenapa ia dibenarkan oleh pihak berkuasa pada masa itu untuk terbang ulang alik dari Kota Kinabalu ke Labuan?" katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Jelas Teck Lee, pelbagai persoalan kini timbul susulan pendedahan laporan hasil siasatan oleh pengeluar pesawat, Government Aircraft Factories (GAF) dan Jabatan Pengangkutan (DOT) Australia itu.
"Ini bukan perkara mudah, saya harap soalan bakal timbul boleh dijawab pihak berkenaan pada masa akan datang," katanya.
Pada Rabu, kerajaan Australia mendedahkan Sabah Air telah mengemukakan draf manual pada penghujung 1975, namun tidak pernah mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (CAD) ketika itu.
Selain “pengoperasian lemah oleh Sabah Air”, siasatan itu juga mendapati terdapat kegagalan di pihak CAD untuk memenuhi sepenuhnya tanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, selari dengan dapatan dalam laporan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia, siasatan oleh pihak Australia juga menunjukkan tiada unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam tragedi itu, serta tiada bukti pesawat tersebut mengalami sebarang kerosakan.
Dalam tragedi yang dikenali sebagai Double Six, sebuah pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad N-22B kendalian Sabah Air yang berlepas dari Labuan terhempas di kawasan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah.
Antara yang terkorban dalam nahas itu termasuk Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah Datuk Chong Thien Vun dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Salleh Sulong.