Tragedi chalet Bentong: Satu mayat wanita ditemui, dua lagi masih dicari - Bomba

Astro Awani
Disember 21, 2021 13:49 MYT
Anggota Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam membawa keluar satu mayat wanita yang hanyut akibat arus deras sungai pada operasi mencari dan menyelamat di Bobby Eco Farm Resort hari ini. - Foto BERNAMA
BENTONG: Bomba hari ini telah menemukan satu mayat seorang daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir lumpur di sebuah chalet di Bentong pada Sabtu.
Mangsa wanita yang dikenali sebagai Yap Koon Lan, 66, ditemui kira-kira jam 10.15 pagi pada jarak 200 meter dari lokasi terakhir mangsa berada ketika kejadian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, mayat mangsa dijumpai pasukan penyelamat di bawah timbunan runtuhan kayu balak dan pasir.
Tambah Ismail, anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mengesan dua lagi mangsa yang hilang dikenali Bobby Lim Yoke Hoong dan kanak-kanak Emmanuel Chang, 6, masih diteruskan.
Dalam kejadian banjir lumpur yang dilaporkan pada jam 10.40 malam Sabtu itu, tiga mangsa dipercayai hilang dibawa arus sungai.
Seramai 32 pengunjung chalet berkenaan termasuk lapan kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Dengan penemuan mangsa terbaru itu, sebanyak sembilan kes kematian direkodkan dalam kejadian banjir negeri ini dengan enam kematian di Bentong, dua di Kuantan dan satu di Raub.
Sejumlah empat mangsa masih belum ditemui.
BACA: Banjir Bentong: Saksi nampak arus deras setinggi tiga tingkat
[LAPOR LANGSUNG] Sembilan terkorban akibat banjir di Shah Alam
Banjir | Perkembangan banjir di Bentong, Pahang
#mayat wanita #chalet bentong #Eco Farm Resort #Balai Bomba dan Penyelamat
;