Tragedi Bukit Kukus: Mayat ketujuh tidak sempurna - Polis
Firdaus Azil
Oktober 21, 2018 19:30 MYT
Oktober 21, 2018 19:30 MYT
Kepala terpisah dari badan. Tiada kaki kanan dan tangan kiri.
Begitu keadaan mayat seorang mangsa tanah runtuh Jalan Bukit Kukus yang ditemui petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang, pengecaman muka tidak boleh dibuat bagi mayat Md Abdul Jalil, seorang warga Bangladesh berusia 34 tahun yang ditemui pada pukul 4.30 petang.
"Bahagian kepala hanya tinggal tengkorak sahaja, dipercayai akibat dihempap batu besar dan bukan akibat reputan. Mayat didapati terbenam kira-kira 10 meter dalam.
"Pengecaman hanya dapat dilakukan oleh rakannya kerana jari kaki kelingking dan jari kaki manis sebelah kiri mangsa bercantum, salah satu sifatnya sejak lahir," kata kepada pemberita di lokasi hari ini.
Ujarnya, pihak pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih cuba mengesan kaki kanan dan tangan kiri mangsa dengan pencarian ditumpukan pada Sektor 2 kawasan kejadian.
Difahamkan, kesemua tujuh mangsa yang terkorban tidak mempunya permit kerja yang sah.
Dalam pada itu, Che Zaimani berkata, seorang lelaki warga Bangladesh yang diselamatkan pada hari pertama, iaitu Shamin, 24 tahun, sebelum ini dilaporkan patah kaki tetapi kini terpaksa dipindahkan ke Wad Kecemasan (ICU) Hospital Pulau Pinang akibat kecederaan dalaman.
"Shamin dipindahkan ke ICU kerana mengalami komplikasi membabitkan pankreas. Keadaannya dilaporkan agak kritikal," katanya.