Tragedi Bukit Kukus: Mayat kelapan ditemui, dikenal pasti
Firdaus Azil
Oktober 22, 2018 13:45 MYT
Oktober 22, 2018 13:45 MYT
Pasukan penyelamat berjaya menarik keluar satu lagi mayat dari kawasan tanah runtuh Jalan Bukit Kukus di Paya Terubong di sini, tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar, mengesahkan identiti mangsa sebagai Subaeri, seorang warga Indonesia berusia 34 tahun.
Subaeri merupakan mangsa yang kelapan terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku Jumaat lalu.
Katanya, mayat ditemui pada pukul 12.10 tengah hari dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang setengah jam kemudian untuk proses bedah siasat.
Semalam, Bernama melaporkan detik cemas yang dilalui isteri Subaeri, Nor Azizah, seorang warga Kemboja berusia 24 tahun, pada hari kejadian.
Nor Azizah dipetik sebagai berkata, mereka sedang berehat di rumah apabila terdengar bunyi dentuman kuat dan dalam sekelip mata, dia ternampak suaminya tertimbus akibat tanah runtuh.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia sendiri tertimbus separuh badan tetapi berjaya diselamatkan apabila dibantu oleh lima orang lain.
Insiden tanah runtuh di kawasan projek pembinaan lebuh raya berkembar Bukit Kukus itu telah meragut lapan nyawa setakat ini.
Dua mangsa masih dilaporkan hilang.