Tragedi Bukit Kukus: Mayat dengan jari kaki bengkok itu adik saya - Abang mangsa
Bernama
Oktober 22, 2018 19:09 MYT
Oktober 22, 2018 19:09 MYT
“Saya pasti mayat itu adik saya...tengok saja jari kaki kiri mayat itu bengkok (cacat), saya tahu itu adalah adik saya,” kata Mohammad Khaliluddin selepas membuat pengecaman mangsa tanah runtuh di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
Mohammad Khaliluddin, 38, yang baru tiba dari Kuala Lumpur berkata beliau mendapat gambar mayat mangsa ketujuh yang ditemui dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus itu melalui kiriman WhatsApp rakan adiknya dari tempat kejadian.
Semalam, mayat Mohamad Abd Jalil, 31, ditemui dalam keadaan tidak sempurna dengan sebahagian anggota badan serta kepala tercerai daripada tubuh di bawah timbunan tanah pada kedalaman 10 meter.
Badan serta kepalanya ditemui pada pukul 4.50 petang semalam di sempadan sektor 2 dan 3 manakala tangan kiri dan kaki kanan belum dijumpai.
Mohammad Khaliluddin berkata sebaik mendapat kiriman gambar itu, beliau menghantarnya kepada ibu mereka di Bangladesh.
“Ibu bagitau dan sahkan itu mayat adik saya Mohamad Abdul Jalil,” katanya.
Mohammad Khaliluddin yang tinggal di Puchong, Selangor berkata beliau telah lama tidak berjumpa dengan adiknya dan kali terakhir mereka berhubung melalui telefon ialah dua minggu lepas.
"Adik saya sudah lama tinggal di Pulau Pinang, sudah tujuh tahun...dia ada isteri dan dua orang anak di Bangladesh," katanya yang berasal dari Satkhira, Bangladesh.
Sehingga pukul 5 petang ini, lapan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, empat lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala dua lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.
Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.
-- BERNAMA
#bukit kukus
#Jabatan Perubatan Forensik
#kontena
#Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus
#Mohamad Abdul Jalil
#Mohammad Khaliluddin
#tanah runtuh