Tragedi bot karam Pulau Tenggol: Seorang pemancing maut, tiga lagi terselamat
Astro Awani
Mei 9, 2019 17:05 MYT
Mei 9, 2019 17:05 MYT
Seorang pemancing maut manakala tiga lagi rakannya selamat selepas bot yang yang dinaiki mereka karam perairan Pulau Tenggol, Dungun.
Keempat-empat mangsa ditemui kira-kira jam 1 petang pada Khamis dalam jarak 30 batu nautika dari perairan Kerteh, Kemaman.
Manakala usaha mengesan seorang lagi mangsa masih giat dilakukan.
Kesemua mangsa dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan operasi pencarian menerusi udara pada jam 7 pagi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali Chong Yuen Khang, 36, manakala yang terselamat Choo Yaw Wo, Lok Win Thye dan Chan Kai Wai.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Rashidilhadi Abdul Rashid berkata ketika ditemui kesemua terapung dan berpaut pada pelampung.
Katanya ketiga-tiga mangsa yang selamat berada dalam keletihan namun dilaporkan keadaan stabil.
“Empat mangsa terbaharu yang ditemui mereka didapati berpegang, berpaut pada boya keselamatan dan salah seorang yang meninggal dunia diikat bersama mereka bagi menggelakkan daripada tenggelam dan hanyut,” katanya.
Beliau berkata mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang meninggal dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Pada Rabu lima pemancing dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka karam selepas dibadai ribut.
Bagaimanapun tekong bersama dua lagi kru kapal tersebut berjaya diselamatkan bot nelayan yang lain.
#APMM
#bot karam
#Dungun
#Kemaman
#keselamatan
#Malaysia
#mangsa
#meninggal dunia
#Pulau Tenggol
#terengganu