Tragedi bot karam: Operasi SAR tiga pelajar giat dijalankan - Polis

Bernama
Ogos 20, 2024 17:50 MYT
Anggota pasukan penyelamat melakukan kerja-kerja mencari tiga pelajar yang dikhuatiri hilang selepas perahu yang mereka naiki untuk ke sekolah karam di Kampung Selampit, Lundu. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat tiga pelajar yang dikhuariti hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit daerah Lundu, kira-kira 75 kilometer (km) dari sini, masih giat dijalankan setakat jam 3 petang ini.
Ketua Polis Daerah Lundu, DSP Damataries berkata tiga mangsa tersebut dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong ialah dua pelajar perempuan Helena Fasha Petrus, 16, dan Alsma Jithil,14 dan pelajar lelaki Vilkie Wilson, 15 tahun.
"Lebih kurang jam 6.35 pagi tadi, polis telah menerima panggilan telefon dari bilik gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak memaklumkan sebuah bot penambang yang membawa penduduk kampung telah karam di Sungai Kayan.
"Hasil siasatan awal, bot penambang tersebut telah membawa muatan seramai 19 orang, 18 orang daripadanya adalah pelajar sekolah dan seorang lagi wanita dewasa serta sebuah motosikal," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Katanya semasa kejadian, bot yang dinaiki 19 orang penumpang itu tiba-tiba karam di tengah sungai dalam keadaan air pasang, manakala jarak di antara Kampung Selampit dengan jeti di seberangnya adalah kira-kira 80 meter.
POLIS-BOT KARAM 2 (AKHIR) KUCHING
Damataries berkata punca kejadian adalah disebabkan lebih muatan dan usaha mencari ketiga-tiga mangsa masih diteruskan dengan kekuatan 55 anggota terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.
Pagi tadi, maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak memaklumkan sebuah bot yang dinaiki oleh 20 orang termasuk seorang wanita dewasa dan seorang pengemudi bot serta 15 orang pelajar telah karam di Sungai Kayan.
Bagaimanapun, 14 mangsa berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi pelajar yang dihanyutkan oleh arus sungai sejauh 1 km dari lokasi kejadian berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung.
Dua lagi mangsa iaitu seorang wanita dewasa yang juga penumpang serta pengemudi bot turut selamat, manakala tiga lagi mangsa belum ditemui.
-- BERNAMA
#tragedi bot karam #pelajar hilang #Lundu #operasi mencari dan menyelamat