Tragedi bot karam Lenggong: Sahabatku, tenanglah bersemadi di sana
Nazialita Geynna Maharan
November 20, 2017 19:11 MYT
November 20, 2017 19:11 MYT
Muhamad Irsham Mohd Nasri, 32, masih tidak dapat menerima hakikat bahawa sahabat karibnya merupakan salah seorang mangsa tragedi bot karam di Sungai Kampung Kelantan, Tasik Raban, Lenggong.
Irsham berkata, arwah Muhammad Faliq Fadzil, 26, merupakan seorang insan yang rapat dengannya dan pemergiannya begitu mengejutkan beliau.
“Kami terkejut bila dapat tahu kawan kami lemas. Sampai sekarang kami masih lagi terasa kehilangannya, dia memang seorang sahabat yang baik," ujarnya.
Menurutnya, arwah merupakan seorang yang tidak pernah menolak untuk membantu kawan lain dalam kesusahan justeru membuatkannya disenangi ramai.
Ujarnya lagi, dia dan rakan terkejut mendengar perkhabaran bot karam itu dan berdoa agar rakannya selamat namun ternyata Allah lebih menyayangi mereka.
“Memang dari kecil saya kenal arwah (Muhammad Faliq). Bila dapat tahu kes ini, saya dan rakan-rakan arwah pergi ke Tasik Raban untuk sama-sama membantu operasi mencari,” katanya lagi.
Difahamkan, Irsham dan rakan-rakannya turut berada di sekitar kawasan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sejak Sabtu lepas dengan harapan menemui rakannya.
“Hari pertama tak jumpa apa-apa sebab operasi mencari dilakukan di dasar tasik. Hari ini, (Isnin), barulah jumpa jenazah arwah. Arwah pandai berenang tapi mungkin ia terjadi atas kehendak Allah.
“Orang memang kenal dia sebagai seorang yang ceria. Kalau tanya 'orang Kuala', memang ramai kenal dia sebab dia memang peramah,” katanya.
Tambahnya, arwah memang minat memancing sejak dari kecil dan kehilangannya pasti dirasai bukan sahaja untuk kaki pancing malah sahabatnya yang lain yang akan merindui gelak tawanya.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan penemuan dua mangsa tragedi bot karam di Sungai Kampung Kelantan, Tasik Raban.
Mayat pertama, Amirul Asyraf Abdullah, 24, ditemukan pada Ahad pada jam 10.10 pagi kira-kira 5 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh manakala mayat Muhammad Faliq pula ditemukan pagi ini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa memgesahkan maklumat tersebut dan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat di Jeti Tasik Raban dihentikan pada 9.30 pagi Isnin.
Dalam pada itu, seramai 73 orang termasuk 20 orang kampung terlibat dalam operasi mencari mangsa diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lenggong.
Difahamkan, hasrat kedua-dua sahabat untuk menghabiskan masa cuti dengan memancing bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam kerana terlanggar tunggul kayu di Tasik Raban.