Tragedi bot karam: Dua lelaki dakwa mereka penumpang yang selamat

Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Jun 3, 2013 23:10 MYT
Dua lelaki pada Isnin membuat laporan polis di Kapit mendakwa mereka adalah penumpang dan telah kehilangan barang serta dokumen dalam tragedi bot ekspres 'Kawan Mas' karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, Selasa lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Bakar Sebau, pihaknya masih lagi menyiasat kesahihan laporan itu sebelum nama kedua-dua mereka dimasukkan ke dalam senarai mangsa terselamat.
"Kami perlu menyiasat kesahihan laporan berkenaan kerana khuatir mungkin ada yang mengambil kesempatan berhubung kejadian ini. Jadi setakat ini, jumlah mangsa yang selamat ialah 205 orang dua masih hilang dan satu mayat sudah dijumpai.
Bakar turut memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang membuat laporan palsu mendakwa penumpang dalam kejadian itu.
Sementara itu beliau berkata tambahan dua buah jentolak milik sebuah syarikat pembalakan akan dibawa pada Selasa ke lokasi bot ekspres yang karam.
Katanya ia sebagai usaha untuk menarik dan mengapungkan bot tersebut.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyelamat di Pejabat Daerah Belaga pada Isnin.
#Belaga #bot karam