Tragedi bot karam Belaga: Empat lagi masih hilang
Tunku Nashrul Tunku Abaidah
Mei 31, 2013 08:12 MYT
Mei 31, 2013 08:12 MYT
Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau mengesahkan hanya tinggal empat mangsa yang terlibat dalam tragedi bot karam di Belaga, dikhuatiri masih hilang.
Menurut beliau, setakat jam 7.30 pagi tadi tujuh orang mangsa yang dilaporkan hilang telah melaporkan diri di Balai Polis Kapit dan telah bersama keluarga mereka.
Operasi mencari dan menyelamat itu sekali gus menjadikan mangsa yang selamat kini seramai 200 orang.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang turut menjelaskan bahawa misi mencari dan menyelamat pada Khamis masih gagal menarik bangkai bot.
Katanya, ia berikutan arus air yang masih kuat berhampiran tempat kejadian.
Beliau juga percaya operasi selepas ini akan kembali lancar kerana arus air dijangka susut pagi Jumaat.
"Kita jangkakan esok kita akan mula gerakan menyelamat... kita yakin dan percaya kita dpt tunda bot ke tebing"
Tegasnya jika sekiranya keadaan masih sama pihak keselamatan akan mengambil langkah untuk menebuk bot tersebut bagi menjalankan operasi mencari mangsa.
Dalam kejadian pagi Selasa itu bot ekspres 'Kawan Mas' yang membawa seramai 205 orang penumpang sedang dalam perjalanan dari Bakun di pekan Belaga menuju kapit apabila dikatakan terlanggar batu dan karam dekat Tanjong Giam Bungan.