Tragedi bot karam: 6 PATI ditemui lemas, seorang selamat

Astro Awani
Januari 18, 2022 18:52 MYT
Operasi SAR kemudian digerakkan sebelum tujuh lagi mangsa ditemui dengan enam daripada lemas. - Gambar/ Bernama
PONTIAN: Seramai enam pendatang tanpa izin (PATI) ditemui lemas manakala seorang selamat dalam kejadian bot karam akibat dipukul ombak kuat di perairan Pontian.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Nurul Hizam Zakaria berkata, bot membawa 13 penumpang dan tekong itu karam tengah malam tadi, sebelum empat wanita dan dua lelaki diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan 10 pagi tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian digerakkan sebelum tujuh lagi mangsa ditemui dengan enam daripada mereka lemas.
"Dua mayat wanita dan seorang wanita terselamat ditemukan pada 1 tengah hari, kemudian empat mayat wanita terapung lengkap berpakaian dijumpai pada pukul 2.30 petang. Dengan penemuan terbaharu itu, Operasi Mencari dan Menyelamat ditamatkan pada pukul 3.45 petang ini," katanya dilaporkan Bernama.
Bercakap kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat Jeti Persatuan Nelayan Pontian, Pontian Besar, di sini hari ini, Nurul Hizam berkata menurut siasatan awal bot itu yang dipandu dua tekong lelaki dan membawa 11 wanita bertolak dari Pulau Jalung, Batam, kira-kira pukul 9 malam tadi.
"Bagaimanapun, sebelum sampai ke destinasi, bot tersebut dipercayai dipukul ombak kira-kira setinggi 1.5 meter hingga tiga meter, di kedudukan 4.2 batu nautika dari perairan Pontian, tengah malam tadi," katanya.
Pada operasi Carilamat berkenaan yang diaktifkan pada pukul 10.20 pagi, seramai 58 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi turut terlibat.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohamad Shofee Tayib berkata kesemua mereka yang berumur antara 25 hingga 35 tahun itu dipercayai mahu masuk ke negara ini secara haram, melalui jeti di Api-Api, di sini.
"Seorang daripada wanita berkenaan, kini kritikal dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, manakala yang lain dihantar ke Hospital Pontian.
"Bagaimanapun, dua lelaki yang dipercayai tekong ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian dan akan dipohon reman, kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," kata Mohamad Shofee.
Dalam kejadian tengah malam tadi, sebuah bot fiber dengan 200 kuasa kuda sepanjang 6.096 meter, membawa 13 PATI iaitu dua tekong lelaki dan 11 wanita untuk masuk ke negara secara haram, karam di perairan berkenaan.
#tragedi bot karam #pati #perairan pontian #PATI lemas
;