Tragedi Blok 102: Polis masih jalankan siasatan kes remaja maut dihempap kerusi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Januari 17, 2018 16:36 MYT
Beberapa penduduk Projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam melihat kawasan kejadian semalam yang meragut nyawa pelajar tingkatan tiga S Sathiwaran selepas ditimpa sebuah kerusi yang dicampak dari tingkat atas bangunan itu. - fotoBERNAMA
Polis masih menjalankan siasatan berhubung kematian remaja lelaki berusia 15 tahun yang maut dihempap kerusi pejabat.
Dalam kejadian pada Isnin sekitar jam 8 malam, polis mengesahkan menerima panggilan berhubung kejadian di projek Perumahan Rakyat Seri Pantai, Pantai Dalam yang mengorbankan S. Sathirawan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kerusi pejabat yang terkena tepat mengenai kepalanya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Polis Kuala Lumpur pada Rabu, laporan bedah siasat masih belum diperolehi.
BACA: Remaja maut ditimpa kerusi di PPR
Polis kini masih menjalankan siasatan dan menemubual 31 orang saksi yang melibatkan penghuni kediaman itu.
BACA: Tragedi Blok 102: Kerusi 'maut' ada di tingkat 21 pada hari kejadian - Datuk mangsa
Pasukan forensik pula mengesahkan mengambil sampel darah di kerusi terbabit serta merakam percakapan lima orang saksi di lokasi kejadian.
Kes kematian diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis turut merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi ASP Firdaus Sharil di talian 012-3388164 atau 03-9051222.
#Kuala Lumpur #maut #meninggal dunia #polis #PPR #remaja #Seksyen 302 Kanun Keseksaan
;