Tragedi Blok 102: Kerusi, meja? Rangka motosikal pun turun dari langit!
Harits Asyraf Hasnan
Januari 18, 2018 18:40 MYT
Januari 18, 2018 18:40 MYT
"Bukan kata kerusi atau meja, rangka motosikal pun jatuh," itu lah realiti yang dihadapi penduduk di Projek Perumahan Rakyat PPR Seri Pantai, Pantai Dalam.
Pengawal keselamatan yang bertugas di perpustakaan PPR tersebut, Abu Kasim, 53 tahun sudah lali dengan situasi tersebut.
"Bukan kata kerusi atau meja, rangka motosikal pun jatuh. Itu pun kereta tak boleh naik atas, kalau kereta boleh naik atas, kereta pun jatuh.
"Saya hari-hari duduk bawah ini. Saya jadi pengawal keselamatan di bawah ini dari 7 petang sampai 7 pagi, macam-macam masalah," katanya ketika ditemubual Astro AWANI.
Malah, ketika penulis sedang menemubual Abu, ada penduduk yang mencampakkan botol minuman dari salah satu aras blok tersebut hingga hampir terkena.
"Kita tengok teruk betul keadaan tangga di sini, kotor. Ha tengok, baru saya cakap, dah jatuh. Bukan nak kata apa, penduduk sini memang dah kebiasaan.
"Kita pun dah tak boleh buat apa," ujarnya kesal dengan apa yang berlaku.
Astro AWANI mendapatkan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Pantai, Tusiah Sino bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Beliau akui, segelintir penduduk di situ masih mempunyai mentaliti kelas rendah.
"Saya tak katakan semua penduduk yang mentaliti sebegini, tidak. Tapi segelintir daripada mereka ini tidak bertanggungjawab.
"Contoh dia membeli barang. Perabot lama itu ditinggalkan dekat koridor atau lif. Memang tak sepatutnya berlaku sebegitu.
"Kalau dia boleh bawa almari atau apa sahaja perabot baru yang dibawa masuk ke dalam rumah, kenapa dia tak boleh buang barang-barang itu terus," akuinya.
Justeru, beliau mengharapkan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam memberi pendidikan kepada penduduk di situ dan melihat kejadian ngeri yang berlaku baru-baru ini telah membuka mata ramai pihak.